Investcorp peroleh majoriti ekuiti Viz Branz | DagangNews Skip to main content

Investcorp peroleh majoriti ekuiti Viz Branz

Investcorp Holdings

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Syarikat penyedia dan pengurusan produk pelaburan alternatif terkemuka, Investcorp Holdings (Investcorp) mengumumkan persetujuan memperoleh majoriti pegangan Viz Branz Holdings Pte. Ltd. (Viz Branz) daripada pemegang saham dan Ketua Eksekutif, Beng Chng.

 

Ketua Eksekutif Bersama Investcorp dan Pengerusi Asia Food Growth Fund Investment Committee, Hazem Ben-Gacem berkata, persetujuan berkenaan dicapai dengan kerjasama Asia Food Growth Fund I.

 

"Kami bangga dengan pertumbuhan platform pelaburan Asia kami. Setakat ini, Investcorp telah melaburkan lebih AS$1 bilion di Asia terutamanya China. 

 

"Urusniaga ini melambangkan peluang besar dalam sebuah syarikat pendahulu pasaran dalam sektor yang kami anggap menarik dan berdaya tahan dengan dinamika petumbuhan yang besar. 

 

"Kami yakin Viz Branz bersedia untuk pengembangan menerusi peningkatan pengedaran di China dan kawasan lain di Asia Tenggara dengan penghasilan reka baru produk dan peningkatan keupayaan operasi dan saluran pelbagai serta menerusi pengambilalihan tambahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Viz Branz adalah syarikat pengeluar dan pengedar milik keluarga jenama bijirin sarapan dan minuman terkemuka di China dan Asia Tenggara termasuk Gold Roast, Calsome, Royal Myanmar Tea dan Café 21. 

 

Syarikat yang berpangkalan di Singapura itu memiliki kira-kira 1,300 orang pekerja dan kemudahan pengeluaran dan operasi di China dan Myanmar dengan kemampuan penjanaan jualan sebanyak S$170 juta dalam 12 bulan berakhir 30 Jun 2020.

 

China menjadi negara pasaran terbesar kepada syarikat berkenaan yang mewakili lebih 65% daripada keuntungan.

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif Viz Branz, Ben Chng memberitahu, kerjasama itu akan membuka peluang besar kepada perniagaan syarikatnya.

 

"Gabungan tenaga bersama Investcorp, China Resources dan Fung Investments ini adalah titik penting dalam evolusi kami dan akan memberikan peluang besar kepada perniagaan kami. 

 

"Menerusi kerjasama baharu ini, Viz Branz akan mendapat laluan kepada sumber tambahan dan kepakaran yang mampu memacu rancangan pertumbuhan dan membolehkan kami berkembang untuk beberapa tahun akan datang," tambah beliau.

 

Pemerolehan Viz Branz merupakan pelaburan Investcorp yang ke-16 dalam industri makanan dan minuman dalam lebih tiga dekad di Amerika Syarikat (AS), Eropah, MENA dan Asia.

 

Syarikat Investcorp kini beroperasi di 12 negara di AS, Eropah, GCC and Asia, termasuk India, China dan Singapura. - DagangNews.com