InvestKL tarik FDI sebanyak RM8.7 bilion pada 2023, jana lebih 8,000 pekerjaan berkemahiran tinggi | DagangNews Skip to main content

InvestKL tarik FDI sebanyak RM8.7 bilion pada 2023, jana lebih 8,000 pekerjaan berkemahiran tinggi

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob (tengah) bersama Datuk Muhammad Azmi Zulkifli (kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah InvestKL, Datuk Seri Dr. Victor Wee (kiri) dalam satu majlis di ibu negara pada 5 Mac 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - InvestKL berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM8.7 bilion pada 2023, mewakili peningkatan melebihi 300% berbanding RM2.79 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Lonjakan itu menekankan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi Malaysia dengan 12 syarikat global terkemuka dari rantau Amerika, Eropah dan Asia menerajui pelaburan itu dalam pelbagai bidang merangkumi teknologi perundingan, teknologi penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan, infrastruktur, perkhidmatan alam sekitar serta pelancongan.

 

Pelaburan tersebut menjana 8,329 pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan yang ketara daripada 2,805 jawatan yang diwujudkan pada 2022. Sejumlah 81% daripada jawatan itu adalah dalam sektor digital dan teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, FDI yang diraih itu menunjukkan keupayaan Greater KL menarik aktiviti bernilai tinggi dalam pelbagai sektor seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kewangan dan kejuruteraan.

 

Katanya, kejayaan itu menunjukkan ekosistem perniagaan Greater KL yang semakin matang, mampu menjamin dan menyokong pelaburan yang besar.

 

"Kesannya adalah positif, ia memangkin pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan ekosistem tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

 

"Strategi kami termasuk memanfaatkan peluang di negeri-negeri jiran untuk meningkatkan manfaat ini, menyumbang kepada masa depan yang mampan dan sejahtera untuk rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tahun 2023 menandakan tahun paling cemerlang buat InvestKL dengan agensi itu memperoleh RM29.79 bilion pelaburan sejak penubuhannya pada 2011 dan sehingga kini 66% daripada pelaburan itu atau RM19.74 bilion telah direalisasikan, membawa kepada penciptaan lebih 27,000 pekerjaan eksekutif.

 

Pada masa ini, 74% daripada jawatan itu telah diisi, memberikan rakyat Malaysia dengan purata pendapatan bulanan melebihi RM14,000.

Muhammad Azmi berkata, 2024 membawa cabaran baharu dan perniagaan di Greater KL bersedia memanfaatkan kekuatan negara bagi meluaskan kehadiran serantau mereka dan InvestKL yakin terhadap peningkatan bandar itu sebagai pusat pelaburan global yang strategik.

 

"Sebagai sebuah agensi penggalakan pelaburan terkemuka untuk Greater KL, InvestKL komited untuk menerajui usaha untuk memastikan negara kekal sebagai destinasi utama bagi syarikat yang ingin mengembangkan kehadiran mereka di Asia," katanya. - DagangNews.com