IPO Alpha IVF dilanggan sebanyak 2.73 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Alpha IVF dilanggan sebanyak 2.73 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Tawaran awam permulaan (IPO) Alpha IVF Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia telah dilanggan sebanyak 2.73 kali.

 

Dalam satu kenyataan, pakar rawatan kesuburan itu berkata, ia telah menerima sejumlah 6,894 permohonan untuk 530.1 juta saham, dengan nilai keseluruhan RM169.6 juta, berbanding 194.4 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia.

 

"Bagi penawaran institusi sebanyak 1.24 bilion saham, terdiri daripada 1.09 bilion saham ditawarkan dan 145.8 juta saham terbitan, yang disediakan kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah dilanggan sepenuhnya sebanyak 3.14 kali.

 

"Penaja jamin dan penaja jamin bersama IPO itu telah berjaya memperoleh lapan pelabur asas yang melanggan 64.6% daripada tawaran institusi tidak termasuk tranche MITI," katanya.

 

Alpha IVF berkata, lapan pelabur asas itu ialah abrdn Malaysia Sdn Bhd, AHAM Asset Management Berhad, AIA Bhd, Eastspring Investments Berhad, Hong Leong Asset Management Bhd, Kenanga Investors Bhd, Lion Global Investors Ltd dan Value Partners Hong Kong Ltd.

 

Terdahulu, IPO itu disasarkan menjana RM116.6 juta, pelan pengembangan strategik Alpha IVF dijangka dapat mengatasi penurunan kadar kelahiran di ASEAN, manakala peningkatan dalam pelancongan perubatan akan memacu CAGR pendapatan FY23-26. - DagangNews.com