Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Dennis Martin
KUALA LUMPUR 9 Julai - Harga tawaran awam permulaan (IPO) CTOS Digital Bhd yang akan bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatatkan lebihan langganan sebanyak 27.6 kali.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, ia menerima sebanyak 51,494 permohonan untuk 1.26 bilion saham dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.38 bilion daripada 44 juta saham yang tersedia untuk permohonan.
Bagi bahagian Bumiputera, ia mencatatkan lebihan langganan sebanyak 14.37 kali dengan sejumlah 14.192 permohonan untuk 338.1 juta saham terbitan diterima manakala bahagian awam pula mencatatkan lebihan langganan sebanyak 40.77 kali dengan sejumlah 37.302 permohonan untuk 918.9 juta saham terbitan diterima.
"Penawaran institusi berjumlah 936 juta saham IPO, ia terdiri daripada 900 juta saham tawaran dan 36 juta saham terbitan yang ditawarkan kepada pelabur tempatan dan institusi asing serta pelabur terpilih Malaysia telah dilanggan sepenuhnya.
"Sebanyak 23 pelabur asas melanggan 54.4 peratus daripada penawaran institusi dan baki saham yang tersedia untuk penetapan harga melihat pemintaan luar biasa apa ia mencatatkan melebihi RM6.5 bilion," katanya, lapor Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Dennis Martin, berkata lebihan langganan kukuh itu dalam penawaran runcit dan institusi menunjukkan keyakinan masyarakat pelaburan terhadap rekod prestasi dan trajektori pertumbuhan yang mantap.
"Cita-cita kami adalah untuk membangunkan ekosistem laporan kredit yang komprehensif di rantau ini, sambutan daripada masyarakat pelaburan di institusi dan runcit, mencerminkan keyakinan mereka terhadap kemampuan kita untuk merealisasikan hasrat tersebut," katanya.
CTOS Digital dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Julai, 2021 dengan harga IPO RM1.10 sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.4 bilion.
Langkah IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu dan peruntukan tawaran untuk penjualan 900 juta saham sedia ada.
"Daripada hasil IPO baharu RM220 juta itu, sebanyak RM155.2 juta akan digunakan untuk pembayaran balik semua pinjaman bank untuk melangsaikan hutang manakala RM59 juta akan diperuntukkan untuk pelaburan dan pengambilalihan syarikat yang dikenal pasti.
"Baki RM6.1 juta akan digunakan untuk menampung bayaran dan perbelanjaan penyenaraian," katanya. - DagangNews.com