IPP diunjur lebih kukuh pada suku kedua - Firma | DagangNews Skip to main content

IPP diunjur lebih kukuh pada suku kedua - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - MIDF Research menjangkakan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bakal mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh pada suku kedua 2021 (2Q21) disebabkan oleh kesan asas. 

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak menafikan aktiviti pengeluaran pada pertengahan tahun ini dijangka terjejas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan ‘lockdown’ yang menyebabkan penutupan sementara sektor bukan perlu selain menyekat pergerakan masyarakat. 

 

“Namun, kami tidak melihat impak PKP 3.0 akan menjadi seteruk PKP pertama pada tahun lalu kerana sektor perlu dibenarkan beroperasi termasuk perniagaan di dalam sektor rantaian bekalan perlu. Pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur akan membolehkan operasi perniagaan dibuka dan disambung kembali pada akhir tahun ini. 

 

“Buat masa ini, situasi pandemik tempatan kekal sebagai kebimbangan utama kerana kes COVID-19 baharu berterusan meningkat pada kadar empat digit. Sekiranya ‘lockdown’ penuh dilanjutkan, kami bimbang jika sekatan berpanjangan ke atas ekonomi akan menjejaskan aktiviti pengeluaran terutamanya bagi industri yang berorientasikan domestik. 

 

“Selain itu, kami percaya prospek bagi industri berorientasikan eksport terus disokong oleh permintaan luaran yang kian meningkat dan pemulihan berterusan dalam rakan dagangan utama,” jelas MIDF dalam satu nota kajian.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran IPI bagi sepanjang tahun ini meningkat sebanyak 12.8%.

 

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan IPP Malaysia melonjak 50.1% pada April 2021, didorong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan yang meningkat 68%. 

 

Baca : IPP melonjak 50.1% pada April 2021 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, selain sektor Pembuatan, pertumbuhan IPP pada bulan tersebut turut dipacu oleh peningkatan dalam indeks elektrik (22.9%) dan perlombongan (14.3%).

 

Berbeza dengan ramalan MIDF, firma penyelidikan kewangan, Moody’s Analytics sebaliknya menjangkakan penguatkuasaan sekatan pergerakan ketika ini akan mendorong pertumbuhan IPP yang lebih lemah pada tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Jelas firma itu, perubahan besar yang dilihat pada bulan lalu disebabkan oleh kesan asas rendah dari tahun 2020 iaitu -32.10%, namun berdasarkan perbandingan tahun asas rendah, jumlah pengeluaran perindustrian sebenarnya menurun sebanyak 4.5% bulan ke bulan (m-o-m).

 

“Mengambil kira pelaksanaan PKP dan disusuli ‘lockdown’, kami menjangkakan pertumbuhan pengeluaran perindustrian Malaysia akan berkembang dengan perlahan pada beberapa bulan akan datang ekoran sekatan yang lebih ketat dan kapasiti pengeluaran yang terhad, di mana tidak dinafikan bakal menjejaskan output. 

 

“Kebimbangan utama adalah sejauh mana pengeluaran perindustrian akan terjejas akibat kapasiti yang dihadkan (had 60% kapasiti pengeluaran),” jelas Moody’s Analytics. - DagangNews.com