Ismail Sabri saran kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri saran kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan syarahan umum di Universitas Pertahanan Republik Indonesia di Jawa Barat.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan kuasa veto yang dimiliki oleh Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan bagi mengelakkan daripada ia disalahgunakan.

 

Beliau berkata, kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia dan pada masa sama ia dilihat tidak demokratik selain melanggar prinsip hak asasi manusia.

 

“Sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya. 

 

"Konflik Ukraine-Rusia telah berlanjutan lebih setahun dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Ukraine mendapat dokongan NATO dan negara barat, manakala Rusia mendapat sokongan China. Banyak harta yang musnah, terutama Ukraine dan banyak nyawa yang terkorban di kedua-dua pihak,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universitas Pertahanan Republik Indonesia di Jawa Barat, Indonesia hari ini. 

 

Ismail Sabri turut berkongsi cadangan beliau untuk penubuhan Keluarga ASEAN, semasa Sidang Kemuncak ASEAN secara maya pada 26 Oktober 2021.

 

mail

 

Cadangan itu adalah bagi membolehkan negara-negara ASEAN menjalinkan hubungan rapat sehingga tidak timbul langsung perasaan curiga agar lebih banyak kebaikan diraih.

 

Beliau berkata, dari aspek ekonomi, negara-negara ASEAN adalah saling melengkapi seperti sebuah negara.

 

Katanya, rantau ini adalah pengeluar utama getah dan kelapa sawit utama dunia tetapi harga komoditi ini ditetapkan oleh orang lain selain berdepan pelbagai sekatan dari negara- negara luar rantau itu.

 

mail

 

“Walapun kita ditekan oleh kuasa besar dan tidak mempunyai kuasa ketenteraan tetapi jika kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar ASEAN, orang luar akan menghormati kita," katanya.

 

Sementara itu kata beliau lagi, keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa.

 

mail

 

“Dalam bahasa mudah bahawa ‘keamanan sejagat’ yang dimaksudkan adalah keamanan yang diperolehi secara alamiah, di mana bukan terhasil dari perang.

 

“Saya menolak konsep ‘keamanan sedunia’ yang menggunakan kekuatan senjata atau memenangi perangan untuk membentuk keamanan. Perang tidak dapat diselesaikan dengan perang untuk mencapai kedamaian," katanya. - DagangNews.com