PUTRAJAYA 21 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri keranan sudah ada empat jawatan Menteri Kanan yang turut berperanan dan mendapat keistimewaan menyamai Timbalan Perdana Menteri.
"Itu (lantik Timbalan Perdana Menteri) biarlah dulu. Setakat hari ini, seperti kita tahu saya sudah ada empat menteri kanan yang membantu saya dan seolah-olah sudah ada empat Timbalan Perdana Menteri yang membantu saya.
"Faedah yang mereka peroleh hampir sama. Ada pengawal pengiring, polis, macam-macamlah. Lebih kurang Timbalan Perdana Menteri juga. Jadi setakat ini, tidak membebankan saya tanpa Timbalan Perdana Menteri kerana keempat-empat menteri kanan sudah mewakili parti yang sudah ada," katanya.
Beliau juga berkata, PAS yang menjadi sebahagian kerajaan tidak pernah menuntut jawatan menteri kanan.
"Cuma PAS sahaja tidak ada. Kalau tak, PAS pun boleh menuntutlah. Kenapa ada UMNO, ada GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan dua BERSATU. Patutnya satu BERSATU, satu PAS, satu UMNO dan satu GPS.
"PAS tidak pernah timbulkan isu ini. Jadi saya rasa semua orang menerima. Ada sedikit kelebihan dan kekurangan. Tak nak ada isu dan perkara yang boleh jadi isu besar, merosakkan hubungan antara kita, kita selesaikan. Tapi yang cakap banyak itu orang diluar," katanya.
Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dilaporkan berkata, partinya berpegang kepada keputusan awal penubuhan kerajaan pimpinan PN, iaitu tiada pelantikan Timbalan Perdana Menteri dilakukan dan tiada sebarang perjanjian dibuat. - DagangNews.com