Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

PUTRAJAYA 7 Julai - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

 

Sementara itu, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein pula telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Dato Sri Ismail Sabri.

 

Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Dato' Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

 

hisham
Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein

 

"Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

 

"Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan partiparti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

 

"Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein di atas pelantikan ini. - DagangNews.com