JABATAN Tanah dan Survei Sarawak, Sime Darby Plantation Research Sdn. Bhd., dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) masing-masing telah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Khas dalam GIS (SAG) yang berprestij daripada Esri, untuk penggunaan teknologi geospatial yang inovatif dalam pelaksanaan amalan pintar oleh kerajaan dan penyelesaian pertanian tepat.
Ketiga-tiga organisasi tersebut merupakan sebahagian daripada para pemenang yang mengagumkan dari serata dunia, yang diumumkan semasa acara teknologi geospatial terbesar di dunia iaitu Persidangan Pengguna Esri di San Diego, California.
Dianugerahkan setiap tahun kepada organisasi-organisasi yang terpilih daripada lebih 300,000 calon, Anugerah SAG ini mengiktiraf projek-projek yang menawarkan penyelesaian mampan untuk cabaran dunia sebenar dengan menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS) terkemuka Esri.
Membina bandar-bandar pintar dengan kecerdasan lokasi
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak diraikan untuk penggunaan GIS dalam eLASIS (Land and Survey Information System), sebuah platform digital yang berfungsi sebagai sebuah ‘pejabat maya’ untuk pengurusan tanah dan pentadbiran.
Integrasi GIS dalam sistem tersebut membolehkan pengguna melihat pelbagai lapisan informasi masa nyata dan data geospatial dalam bentuk 3D pada plot tanah tertentu secara digital, sekaligus menghapuskan keperluan untuk lawatan tapak secara fizikal.
Dengan sistem eLASIS, perancangan aliran kerja antara jabatan menjadi lebih cekap, membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan yang lebih bijak mengenai pengurusan dan penggunaan tanah.
Peningkatan kecekapan operasi juga merupakan antara elemen utama projek Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang memenangi anugerah, iaitu Dashboard SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).
MBIP, pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang terpilih untuk menerima Anugerah SAG, membangunkan sistem Dashboard SISPAA sebagai sebuah dashboard yang dikuasakan oleh GIS dan memaparkan cerapan geo daripada portal pengurusan aduan berpusat yang sedia ada.
Kesemua aduan yang masuk dikumpulkan dan digambarkan pada masa nyata mengikut kawasan.
Dengan keupayaan memahami lokasi dan kluster yang lebih baik, Dashboard SISPAA membolehkan sumber kerajaan digunakan dengan lebih cekap, seterusnya menyelesaikan segala aduan rakyat dengan lebih pantas.
Menambahbaik jaringan dalam pertanian moden
Sime Darby Plantation Research Sdn. Bhd. menerima anugerah untuk aplikasi berasaskan web dan mudah alihnya – Spatial Data Management and Rapid Analytics (SMART) – yang digunakan untuk memantau pelbagai peringkat pengeluaran minyak kelapa sawit.
Dari ladang ke kilang, SMART merekodkan dan menentukan lokasi geo untuk imej masa nyata tapak-tapak pengeluaran. Selain daripada membolehkan pengenalpastian kawasan bermasalah seperti kawasan panas, kebakaran, ataupun serangan haiwan perosak dengan lebih mudah, SMART juga menyelarikan komunikasi untuk aliran kerja operasi yang lancar dan meningkatkan produktiviti.
Siap-siaga untuk masa hadapan dengan kecerdasan lokasi
Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan berkata bahawa pencapaian para organisasi ini telah menjadi contoh cemerlang untuk organisasi di seluruh Malaysia yang ingin menjadi lebih berdaya tahan melalui transformasi digital operasi, dan menggunakan sepenuhnya sumber data mereka yang berharga.
“Di seluruh dunia, kita lihat kerajaan dan perusahaan komersial yang progresif dan maju menggunakan GIS dan analisis lokasi untuk meningkatkan lagi tahap kedaya tahanan mereka,” kata CS Tan.
“Kami berasa bangga dan terharu dapat bekerja dengan organisasi yang berfikir ke arah masa hadapan, serta mereka yang terus-menerus menetapkan kayu ukur teknologi baharu di seluruh rantau ini,” kata CS Tan.
Sebagai sebahagian daripada jaringan global Esri yang merangkumi 400,000 klien daripada 150 buah negara, Esri Malaysia berhasrat untuk terus bekerja bersama dengan organisasi yang berfikiran serupa, bagi memastikan mereka boleh menggunakan sepenuhnya potensi pemikiran geospatial. - DagangNews.com