Jaguar E-PACE janjikan pemanduan yang lebih cekap | DagangNews Skip to main content

Jaguar E-PACE janjikan pemanduan yang lebih cekap

Jaguar E-PACE

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - SUV kompak sporty terbaharu  Jaguar, Jaguar E-PACE yang dilengkapi dengan teknologi eksklusif dan inovatif menjanjikan tahap pemanduan lebih cekap kepada peminatnya.

Jaguar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenderaan tersebut turut dilengkapi dengan teknologi pengecas turbo berkembar serta penapis zarah pada enjin untuk lebih bersih. 

"Jaguar E-PACE dilengkapi dengan enjin petrol pengecas turbo Ingenium 2.0 liter empat silinder yang memberikan pemanduan yang lebih lancar dan cekap.

"E-PACE ini mampu memecut sejauh 0-100km/jam dalam masa 8.2 saat dan mempunyai teknologi canggih seperti yang terdapat pada seluruh keluaran Ingenium lain," jelas Jaguar.

Jaguar Smart Setting adalah antara teknologi baharu yang dinaik taraf dalam E-PACE.

Jaguar E-PACE

Teknologi tersebut bersifat pembelajaran kendiri yang mengkaji kebiasaan pemanduan dan dapat menjangkakan keperluan pemandu untuk lebih selesa dan menyenangkan.

Teknologi baharu itu akan mengubah dan menyesuaikan sistem tempat duduk, suhu kenderaan serta infotainment setelah pemandu mengahampiri kenderaan.

Kenderaan mampu mengenali pemandu melalui fob kunci atau telefon pintarnya.

Teknologi itu juga akan dinaik taraf dari semasa ke semasa agar dapat disesuaikan dengan pelbagai pilihan lain seperti masa, lokasi, cuasa dan kelakuan.

Selain itu, E-PACE turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan aktif dan pasif untuk keselamatan pemanduan.

"Sekiranya berlaku perlanggaran, enam beg udara dan dua titik ISOFIX akan melindungi penumpang bersama beg udara bahagian kaki dapat mengurangkan kadar kecederaan kepada orang lain.

Jaguar E-PACE

"E-PACE yang diperbaharui ini menampilkan luaran sporty yang mempunyai reka bentuk dalaman yang menaikkan kesan visual yang bergaya," kata Jaguar lagi.

Lebih menarik juga, E-PACE juga berjaya mencatat rekod dalam Guinness Book of Records apabila berjaya membuat lompatan berpusing 'Barrel Roll' paling jauh semasa pelancarannya.

Jaguar E-PACE

Kenderaan itu boleh dimiliki dengan harga RM403,216.67 di Semenanjung Malaysia termasuk pengecualian Cukai Jualan sebanyak 50% seperti yang telah diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Kenderaan ini diedarkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia dan disertakan dengan program 'Jaguar Care' yang merangkumi jaminan lima tahun, perkhidmatan percuma selama lima tahun dan bantuan kerosakan di tepi jalan selama tiga tahun," jelas Jaguar lagi. - DagangNews.com