KUALA LUMPUR 18 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Thailand.
Di bawah jalinan ini, pengguna dan peniaga di kedua-dua negara boleh membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.
Projek yang bermula pada Jun 2020 ini dijangka siap dalam tiga fasa yang mana fasa pertama (hari ini) berjaya disempurnakan dengan menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata RPP/DuitNow di Malaysia dan PromptPay di Thailand.
Dalam kenyataan bersama, BNM berkata di bawah fasa pertama, pengguna di Thailand kini boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod DuitNow QR2 bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Malaysia termasuk untuk transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.
"Perkhidmatan ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih ramai pengguna di kedua-dua negara apabila perjalanan antarabangsa dibenarkan semula.
"Pengguna boleh membuat pembayaran dengan lebih selamat dan mudah menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka sebagai alternatif kepada bayaran tunai," katanya.
Di bawah fasa kedua, pengguna di Malaysia boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod Thai QR3 bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Thailand.
Fasa ini dijangka disempurnakan pada suku keempat 2021. Fasa terakhir jalinan ini akan diperluas untuk merangkumi kiriman wang rentas sempadan.
Ini membolehkan pengguna di kedua-dua negara dapat membuat pindahan dana secara masa nyata dan mudah dengan merujuk nombor telefon mudah alih penerima. Fungsi ini dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2022.
Kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Payment Connectivity yang menggalakkan integrasi kewangan serantau melalui peningkatan kecekapan, pengurangan kos dan pengalaman pengguna yang bertambah baik bagi pembayaran rentas sempadan.
Jalinan pembayaran runcit akan berfungsi sebagai pendorong bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan terus memperkukuh hubungan ekonomi antara negara-negara yang mengambil bahagian.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jalinan pembayaran runcit ini akan meningkatkan kecekapan dan memudahkan lagi pembayaran rentas sempadan melalui penyediaan pengaturan pembayaran yang lebih pantas, murah dan inklusif kepada pengguna.
"Jalinan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan peniaga bagi pembayaran rentas sempadan.
"Ia juga bertindak sebagai penggerak penting bagi memperkukuh kesalinghubungan dan integrasi kewangan serantau," katanya.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BOT, Ronadol Numnonda berkata, BOT mengakui kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama ini.
"Kesalinghubungan ini berlandaskan pada infrastruktur pembayaran domestik kita akan memudahkan aktiviti pembayaran runcit rentas sempadan antara kedua-dua negara semasa dan pasca pandemik.
"Yang lebih penting, kesalinghubungan ini juga akan memudahkan perdagangan dan e-dagang rentas sempadan, lantas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan usaha digitalisasi," jelasnya.
Bank CIMB Thai dan Public Bank Berhad merupakan dua bank terawal yang menyertai jalinan ini dan telah mula menawarkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata kepada pelanggan mereka.
Lebih banyak penyedia perkhidmatan pembayaran dijangka menawarkan perkhidmatan seperti ini, dan seterusnya memperluas rangkaian pengguna dan peniaga.
Projek ini dapat direalisasikan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan di kedua-dua negara.
Pihak berkepentingan ini termasuk Payments Network Malaysia (PayNet) dan National ITMX (NITMX) selaku
pengendali sistem pembayaran.
Di samping itu, bank-bank dalam Kumpulan CIMB sebagai bank penyelesaian yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan transaksi rentas sempadan yang dibuat melalui jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Thailand. - DagangNews.com