Jangan bimbang, penerima vaksin Sinovac kini dibenar tunai haji | DagangNews Skip to main content

Jangan bimbang, penerima vaksin Sinovac kini dibenar tunai haji

Sinovac

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Vaksin Sinovac kini tersenarai antara enam vaksin yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penyenaraian tersebut membolehkan penerima vaksin Sinovac memasuki negara berkenaan.

 

"Alhamdulillah, Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana. 

 

"Boleh sampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang," katanya dalam satu ciapan di laman Twitter.

 

.

 

Selain Sinovac, lima vaksin lain yang diiktiraf Arab Saudi ialah Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen dan Sinopharm.

 

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi memaklumkan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

 

Perkongsian yang dibuat Zulkifli itu sememangnya  memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia.

 

Pengguna laman Twitter, Mohd Suhelll yang berkongsi kegembiraannya berkata, berita berkenaan melegakan ibunya yang pada awalnya kecewa dengan keputusan Arab Saudi.

 

"Alhamdulillah. Mak saya dapat Sinovac mula-mula dia frust juga la sebab masa tu kerajaan Saudi tak iktiraf dia cakap susah la nak kalau dapat peluang pergi haji @ umrah nanti, sekarang Allah dah permudahkan urusan. Alhamdulillah," katanya di laman Twitter.

 

Sementara itu, pengguna Twitter lain yang dikenali dengan nama Atleticoguzman memberitahu, keputusan yang dibuat Arab Saudi itu membantu memudahkan orang ramai memujuk golongan berusia untuk divaksin.

 

"Lega. Terima kasih Dr. sebab memudahkan kami lepas ni untuk pujuk warga tua untuk amik vaksin Sinovac. Sebab part ni la yang nak bagi consultation sampai 10 minit. belum part nak cek segala ubat dia bawak tu kang. really helpful," katanya. - DagangNews.com