Jangan buat pembelian panik, bekalan sayur cukup - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Jangan buat pembelian panik, bekalan sayur cukup - KPDNHEP

Sayuran dari Cameron Highlands.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pengguna dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik terhadap produk sayuran kerana bekalannya adalah stabil dan mencukupi.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pihaknya telah membuat sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, Wakil Pemborong, Majlis Keselamatan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan beberapa agensi kerajaan lain bagi bagi memastikan bekalan sayur dari kawasan berkenaan tidak terjejas.

 

"Kerajaan akan mengambil langkah segera untuk memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian daripada Cameron Highlands dapat berjalan seperti biasa.

 

"Ini termasuklah mengusulkan suntikan vaksin kepada peladang dan pekerja-pekerjanya dilaksanakan secepat mungkin," jelas jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini tular isu berkaitan kekurangan bekalan sayur dari Cameron Highlands akibat pelaksanaan PKPD.

 

Situasi berkenaan secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kenaikan harga beberapa jenis sayuran seperti tomato dan timun Jepun.

 

Mengulas lanjut, KPDNHEP berkata, hanya 30% hingga 40% peratus bekalan sayur Cameron Highlands datang daripada ladang-ladang di Kampung Raja.

 

Peratusan tersebut tidak akan menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran secara keseluruhannya.

 

"KPDNHEP juga dimaklumkan bahawa semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands beroperasi seperti biasa.

 

"Hasil daripada sesi libat urus tersebut juga, PDRM telah memaklumkan pergerakan lori-lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands adalah dibenarkan.

 

"Pada masa yang sama, ladang sayur di kawasan Lojing dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran," jelas kementerian itu lagi. - DagangNews.com