Jangan mudah terpedaya gimik jualan murah di internet, tegas MCMC | DagangNews Skip to main content

Jangan mudah terpedaya gimik jualan murah di internet, tegas MCMC

MCMC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam internet.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ini kerana kebanyakan produk berkenaan dijual dari laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara dan tidak tertakluk kepada akta di Malaysia.

 

"Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

 

"Pengguna juga akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna dari platform berkenaan jika kualiti produk yang telah dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna," kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Justeru, MCMC menggesa orang ramai untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian sebagai langkah yang lebih selamat.

 

Jelas MCMC, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.

 

"Teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform edagang, bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini," ujar MCMC lagi. - DagangNews.com