Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 2 Dis - Jazro Technology Robotics Sdn. Bhd. (JAZRO) akan memberi pendedahan terhadap subjek pengaturcaraan komputer, teknologi robotik, sains komputer, seni berfikir dan gelombang otak menerusi Kem Smart Robotik yang akan diadakan secara hidrid pada musim cuti sekolah ini.
Pengasas bersama JAZRO, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, program selama empat hari itu memberi fokus kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada peserta berusia antara 7 hingga 17 tahun.
Beliau memberitahu, pihaknya sudah menganjurkan kem itu sejak 2019 dan pihaknya mahu meneruskan penganjurannya bagi membantu peserta mengkuhkan kemahiran mereka dalam reka cipta dan inovasi.
“Revolusi Industri 4.0 bergerak pantas dan kita sebagai masyarakat perlu bergerak seiringan.
"Kita tidak boleh ketinggalan dalam menyediakan pendidikan STEM untuk anak-anak dan harapan kami adalah kem ini dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menerokai dunia robotik pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Empat kem secara fizikal akan diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (27 hingga 30 Disember), Terengganu Digital TD1303 (22 hingga 25 Disember), Masjid Negeri Pahang (12 hingga 15 Disember), dan IMFutures Pusat Komuniti Indera Mahkota (17 hingga 21 Disember).
Manakala, kem secara dalam talian bermula pada 27 hingga 30 Disember, terbuka kepada semua peserta dari seluruh negara.
Peserta yang berminat akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM139 seorang selain JAZRO menawarkan pakej daftar dua orang percuma seorang. - DagangNews.com