JF Tech meterai perjanjian dengan firma Korea Selatan | DagangNews Skip to main content

JF Tech meterai perjanjian dengan firma Korea Selatan

 

 


KUALA LUMPUR 11 Ogos - JF Technology Bhd. menerusi dua anak syarikatnya memeterai perjanjian agensi secara berasingan dengan firma Korea Selatan, ISC Co. Ltd. 

 

Perjanjian itu yang membabitkan JFH Technology (Kunshan) Co., Ltd. dan JF Microtechnology Sdn. Bhd (JFM) adalah bagi menjual dan mengedarkan produk penyelesaian ujian terakhir di China, Malaysia dan ASEAN. 

 

Kedua-dua anak syarikatnya dijangka menjadi pengeluar peralatan asli soket ujian spring dengan jenama JF Tech sendiri.

 

Soket ujian ini akan disepadukan dengan spring probe pin ISC yang canggih pada suku ketiga tahun kewangan 2022. 

 

Pengarah Urusan JF Tech, Datuk Foong Wei Kuong berkata, kumpulan adalah antara peneraju utama dunia dalam 2 daripada 4 segmen utama dalam ruang pasaran ujian soket terutama soket Short Rigid Pin untuk teknologi 5G dan Cantilever bagi ujian penggunaan dalam sektor automotif dan berkuasa tinggi. 

 

Sementara itu, ISC pula adalah peneraju pasaran dalam 2 segmen utama lain, iaitu soket getah silikon dan spring untuk pemprosesan mikro dan ujian pelaksanaan universal.

 

"Dengan perjanjian ini, JF Tech akan memiliki 4 penawaran ujian utama soket, menyediakan penyelesaian sehenti kepada para pelanggan kami," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Beliau berkata, perjanjian itu juga membawa lebih banyak kemungkinan kepada kumpulan pada masa depan dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan 2022 dan seterusnya. - DagangNews.com