JF Technology dapat kelulusan 6 paten baharu | DagangNews Skip to main content

JF Technology dapat kelulusan 6 paten baharu

 


KUALA LUMPUR 5 Julai - JF Technology Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, JF Microtechnology Sdn Bhd (JFM) mendapat kelulusan 6 paten baharu berkaitan ujian sirkit bersepadu (IC) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

Daripada jumlah itu, 2 paten ini memiliki penyelesaian ujian IC berfrekuensi tinggi manakala 4 lagi berhubung ujian IC untuk penyelesaian penggunaan automotif dan tenaga berkuasa tinggi.

 

Sebanyak 3 paten itu diterima dari Malaysia, Amerika Syarikat (2) dan Filipina (1).

 

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong berkata, bagi produk di bawah paten baharu ini, kumpulan akan memperoleh hak eksklusif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Malah, katanya, dengan meningkatkan harta intelek (IP) kumpulan dapat memberi mengukuhkan kedudukannya dalam industri pengujian IC. 

 

"Ia juga boleh meningkatkan penawaran nilai kepada pelanggan sedia ada dan baharu.

 

"Buat masa sekarang, kumpulan merancang untuk menjana kewangan daripada IP ini menerusi pelesenan, yang merupakan antara pemacu pertumbuhan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Secara keseluruhan, JFM memiliki 33 paten yang diluluskan dengan 35 paten lagi masih menunggu kelulusan di beberapa negara.

 

Daripada 33 paten itu, 20 paten adalah untuk frekuensi tinggi terutamanya ujian pelaksanaan 5G manakala 13 paten lagi untuk penggunan ujian automotif.

 

JFM juga akan terus melaksanakan inovasi dan melabur dalam IP bagi pertumbuhan industri yang boleh menyumbang secara positif kepada syarikat.  

 

Wei Kuong berkata, pihaknya yakin paten pengujian 5G dan automotif dalam memainkan peranan penting dalam pelaksanaan 5G dan mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh dunia. - DagangNews.com