Jiankun beli tanah di Melaka berharga RM26 juta untuk pembangunan komersial | DagangNews Skip to main content

Jiankun beli tanah di Melaka berharga RM26 juta untuk pembangunan komersial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Jiankun International Berhad memperoleh sebidang tanah pajakan di Klebang, Melaka dengan harga RM26 juta dengan sebahagiannya akan dibiayai melalui penempatan persendirian.

 

Anak syarikatnya, Key Success Development Sdn Bhd (KSDSB), membeli tanah seluas 4.04 hektar daripada Cash Support Group Sdn. Bhd. untuk menjalankan pembangunan komersial yang terdiri daripada peruncitan, pangsapuri servis dan unit pejabat.

 

"Memandangkan lokasi strategik yang terletak berhampiran dengan pantai Klebang dan mempunyai akses yang baik ke lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, kumpulan itu berpendapat ia menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan mereka sekiranya berjaya direalisasikan,” kata Jiankun dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Setelah selesai pengambilalihan itu, kumpulan itu akan mempunyai simpanan tanah agregat seluas 15.35 hektar.

 

Jiankun berkata, RM14 juta daripada RM26 juta pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui penempatan persendirian, dengan Eclipse International Sdn. Bhd. melanggan 70 juta saham baharu, mewakili 19.42% daripada jumlah keseluruhan saham terbitan dalam Jiankun setakat 13 April 2023.

 

Sehingga 13 April 2023, modal saham terbitan Jiankun ialah RM76.18 juta, terdiri daripada 360.51 juta saham.

 

Eclipse International terlibat dalam pengiklanan, pengurusan acara dan pameran, penyelesaian latihan, kontraktor am dan perdagangan am.

 

Jiankun berkata baki RM12 juta daripada pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui dana jana dalaman kumpulan dan pinjaman bank. - DagangNews.com