Jika haramkan rokok, haramkan juga alkohol dan perjudian | DagangNews Skip to main content

Jika haramkan rokok, haramkan juga alkohol dan perjudian

Gesa kerajaan untuk mengambil kira hasil kaji selidik Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

SATU kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Muslim Malaysia (PPIM) baru-baru ini mendapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia mahu kerajaan mengharamkan penjualan alkohol, minuman bergula dan perjudian serta melarang operasi kelab malam, pub dan pusat karaoke.

 

Kumpulan pengguna itu berkata produk dan perkhidmatan sedemikian dianggap sebagai “memudaratkan” sama seperti merokok dan menghisap rokok elektronik yang memudaratkan kesihatan seseorang.

 

Responden kaji selidik PPIM itu adalah betul.

 

Ia bukanlah suatu yang sukar difahami malah ia perlu dipandang serius oleh kerajaan.

 


 

Tun Faisal adalah Presiden Pertubuhan Ummah Muafakat Putrajaya
Tun Faisal adalah Presiden Pertubuhan Ummah Muafakat Putrajaya

 

 

Menghapuskan perbuatan merokok dan menghisap rokok elektronik adalah sesuatu yang kerajaan sedang lakukan melalui rancangan “Penamat Generasi”, yang akan menyaksikan pengharaman penjualan rokok dan rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 2005.

 

Ini adalah sesuatu yang memerlukan kehendak politik yang kuat dan pujian perlu diberi kepada kerajaan kerana ia tidak berganjak dalam melaksanakan “Penamat Generasi”.

 

Oleh itu, adalah lebih baik jika kerajaan melihat untuk merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia dalam mengharamkan penjualan alkohol, minuman bergula, perjudian dan operasi kelab malam dan pusat karaoke.

 

Lagipun, mengapa hanya mengharamkan satu atau dua tabiat buruk dan membenarkan yang lainnya berleluasa? Kita tidak boleh bersikap pilih kasih ke atas tabiat buruk ini.

 

Jika kerajaan menyatakan sebab kesihatan dalam mengharamkan merokok, oleh itu perlulah dinyatakan bahawa terdapat penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol, termasuklah kanser, penyakit hati dan pankreatis.

 

Begitu juga dengan minuman bergula yang dikaitkan dengan obesiti, diabetes Jenis 2, dan risiko penyakit kardiovaskular. Manakala perjudian, menurut PPIM, boleh menyebabkan seseorang terperangkap dalam hutang.

 

Seseorang boleh merujuk di Google, untuk menyaksikan bahawa ia bukanlah hujah yang salah.

 

 

PPIM

 

 

Pengkritik boleh mengatakan bahawa perkara ini perlu kesederhanaan dan orang ramai perlu mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk berbuat apa sahaja yang mereka mahu.

 

Namun, siapa yang perlu menanggung kos dan kesan tabiat buruk ini? Masyarakat.

 

Inilah sebabnya mengapa saya menggesa kerajaan untuk mengambil kira hasil kaji selidik PPIM ini.

 

Benar, kerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya mengambil pendekatan atas-bawah, tetapi mengambil pendekatan lebih inklusif mengikut konsep semangat Keluarga Malaysia.

 

Sudah pasti, terdapat akibat yang perlu diambil kira, terutamanya ke atas ekonomi dalam mengharamkan alkohol, minuman bergula dan operasi kelab malam. Di setiap ceruk dalam laluan ini, periuk nasi seseorang akan terjejas.

 

Inilah sebabnya sebarang pelan untuk menghapuskan “tabiat buruk” perlu diteliti dan dirancang dengan rapi.

 

Walaubagaimanapun, perjalanan perlu dimulakan dengan kehendak dan niat kerajaan untuk memastikan tidak ada “pilih kasih” kepada tabiat buruk. - DagangNews.com