JLand, ALPS Global jalin kerjasama bangunkan hab bioteknologi Malaysia di Ibrahim Technopolis, Sedenak | DagangNews Skip to main content

JLand, ALPS Global jalin kerjasama bangunkan hab bioteknologi Malaysia di Ibrahim Technopolis, Sedenak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - JLand Group Sdn Bhd (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan ALPS Global Holding Bhd (ALPS) bagi membangunkan hab bioteknologi 'Lembah Silikon' Malaysia di Ibrahim Technopolis (IBTEC), Sedenak, Johor.

 

Jalinan kerjasama itu akan menjadi antara inisiatif strategik Malaysia bagi merebut trajektori pertumbuhan industri bioteknologi yang dijangka berkembang sebanyak empat kali ganda pada 2030 berbanding 2020.

 

Pembangunan hab itu dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM980 juta.

 

Hab itu merangkumi pembangunan serta pembuatan vaksin, genomik, perubatan regeneratif, imunoterapi dan semakan genetik. 

 

Pengarah, Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Akmal Ahmad berkata, kerjasama itu merupakan peristiwa penting dalam inovasi di peringkat global, memupuk ekosistem yang kondusif bagi merintis penyelidikan, pertukaran pengetahuan dan kemajuan ekonomi.

 

"Ia akan menjadi antara usaha niaga kami di IBTEC, hab bioteknologi itu bakal merevolusikan sektor ini dan berfungsi sebagai tambahan kepada pusat data serta hab kecerdasan buatan (AI) yang akan datang.

 

"Pembangunan itu akan menyatukan industri zaman baharu, perintis digital dan pembelajaran sepanjang hayat dalam persekitaran maju yang direka bentuk untuk pertumbuhan yang mampan, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dengan keluasan 500,000 kaki persegi itu hab itu akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 akan memberi fokus kepada penubuhan infrasrtuktur utama termasuk kilang pembuatan vaksin, pusat pemprosesan sel dan makmal molekul.

 

Fasa 2 akan dilengkapi dengan inkubator, institusi akademik dan pusat penyelidikan & pembangunan (R&D) manakala Fasa 3 dilengkapi hab komersial serta pembangunan kediaman.

 

Hab bioteknologi itu juga akan memperkenalkan perkhidmatan perintis seperti penjanaan semula dan imunoterapi, serta inisiatif seperti pusat percubaan klinikal dan hab pelancongan perubatan, meningkatkan statusnya sebagai hab yang komprehensif dan canggih.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALPS, Dr. Tham Seng Kong berkata, dengan kepakaran JLG dan iklim pelaburan Johor yang menggalakkan, pihaknya yakin usaha mewujudkan hab bioteknologi sebagai destinasi utama bagi rumusan bioteknologi akan menarik peneraju industri peringkat atasan dan bakat untuk terlibat dalam inisiatif penyelidikan yang inovatif.

 

"Dedikasi kami tertumpu pada memacu inovasi dan kecemerlangan merentasi keseluruhan rantaian nilai bioteknologi, daripada proses huluan kepada aktiviti hiliran. Matlamat kami adalah untuk merevolusikan industri, meningkatkan hasil pesakit, dan membentuk masa depan bioperubatan untuk generasi akan datang," katanya.- DagangNews.com