Johor jadi enjin pertumbuhan baharu bagi ekonomi Malaysia, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Johor jadi enjin pertumbuhan baharu bagi ekonomi Malaysia, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Johor dijangka menjadi enjin pertumbuhan baharu bagi ekonomi Malaysia, didorong dua projek berimpak tinggi, iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.

 

RHB Investment berkata, pembangunan diterajui kerajaan serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik akan membantu melonjakkan sektor pembinaan, pusat data, tenaga, petrokimia, perindustrian dan pelancongan selain limpahan kepada pasaran hartanah.

 

"Kami percaya, pertumbuhan ekonomi Johor akan terus melepasi purata negara, didorong sektor pembuatannya yang teguh, kekuatan yang mampan dalam industri perkhidmatan, lokasi strategik dan infrastruktur yang dibangunkan dengan baik, serta dasar sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

 

 

"Johor mempunyai infrastruktur yang dibangunkan dengan baik termasuk pelabuhan, lapangan terbang, rangkaian jalan raya dan utiliti, dilengkapi dengan kos operasi perniagaan yang kompetitif.

 

"Negeri ini merupakan yang paling menyerlah dengan asas ekonominya yang pelbagai, merangkumi sektor utama seperti pembuatan, automotif, petrokimia dan banyak lagi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Johor merupakan penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Malaysia di belakang Selangor dan Kuala Lumpur seta penyumbang kedua terbesar kepada perdagangan Malaysia.

 

Katanya, negeri itu menyumbang 9.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan secara amnya telah mengatasi purata negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berkembang sebanyak 4.1% berbanding Malaysia 3.6% pada tahun lalu.

 

"Johor adalah negeri kedua paling ramai penduduk, dan mendapat manfaat daripada kumpulan buruh yang besar dan berkembang. Populasi besar negeri ini menyediakan bekalan pekerja yang stabil bagi memenuhi permintaan industrinya yang semakin berkembang.

 

"Aktiviti ekonomi Johor, termasuk pelaburan besar dalam sektor teknologi tinggi dan perkhidmatan, membantu menjana pelbagai peluang pekerjaan merentasi tahap kemahiran yang berbeza," katanya.

 

RHB Investment berkata, pengeluaran perkilangan Johor pada 2023 meningkat sebanyak 2.8%, melepasi purata nasional sebanyak 0.7%, didorong oleh portfolio sektor yang pelbagai termasuk elektrik dan elektronik, automotif, dan petrokimia, dengan pelaburan langsung asing yang ketara di Iskandar Malaysia yang memperkukuhkan taman perindustriannya dan kehadiran multinasional.

 

"Zon ekonomi utama ini direka untuk menarik industri bernilai tinggi dan pelabur global, menawarkan insentif cukai, taman perniagaan khusus dan persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan," katanya.

 

Selain itu, projek RTS Link yang sedang berjalan di Johor, dengan anggaran pelaburan RM3.7 bilion, telah siap 77.6% setakat Mei 2024 dan mengikut jadual untuk memulakan operasi pada awal 2027. 

 

Perkhidmatan rel rentas sempadan ini, menjangkau kira-kira empat kilometer dan akan menghubungkan Bukit Chagar (Malaysia) ke Woodlands (Singapura) serta boleh membawa sehingga 10,000 penumpang.

 

Selain itu, RTS Link bersedia untuk menjadi pemangkin, meningkatkan trafik rentas sempadan dan memanfaatkan "faktor dolar Singapura" bagi sektor hartanah tempatan Johor, termasuk perumahan, peruncitan dan hospitaliti. - DagangNews.com