Jualan asing ekuiti Malaysia terhenti setelah tujuh minggu - MIDF  | DagangNews Skip to main content

Jualan asing ekuiti Malaysia terhenti setelah tujuh minggu - MIDF 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Jualan asing di pasaran tempatan Bursa Malaysia terhenti minggu lalu apabila pelabur luar pesisir membeli RM115.14 juta ekuiti, berbanding pengeluaran RM190.04 juta pada minggu sebelumnya. 

MIDF Research dalam laporan dana aliran mingguan mendapati, ia merupakan aliran masuk bersih yang pertama setelah tujuh minggu berturut-turut merekodkan penjualan bersih oleh pelabur asing. 

"Ini menandakan peralihan sentimen yang positif dalam pengembangan bajet bagi memperkukuh ekonomi negara," katanya dalam laporan itu. 

Apabila pasaran dibuka Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual RM104.42 juta bersih ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan sebagai pembeli bersih masing-masing sebanyak RM1.39 juta dan RM103.03 juta.

Bagaimanapun, menurutnya, aliran keluar ketika minggu berakhir, diatasi oleh pembelian bersih yang semakin mendapat momentum.  

"Keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Senat merupakan faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelabur," katanya. 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk bersih terbesar berlaku pada Jumaat lalu sebanyak RM240.43 juta dan menambah aliran masuk pada Khamis, RM140.9 juta. 

Setakat ini, jualan bersih pelabur asing berjumlah RM22.88 bilion nilai ekuiti di Bursa Malaysia. 

Berdasarkan pasaran Asia Tenggara dalam liputan firma itu, Indonesia merekodkan aliran bersih asing paling banyak minggu lalu manakala Thailand pula mencatatkan aliran keluar bersih terbesar berbanding negara-negara lain. 

Dari segi penyertaan pelabur runcit, ia menyaksikan pembelian bersih sebanyak RM26.7 juta nilai ekuiti pada minggu lalu manakala institusi tempatan menjual bersih RM141.8 juta dalam tempoh sama. 

"Pelabur runcit meneruskan rentak mereka buat minggu keempat sebagai pembeli bersih dalam pasaran tempatan sejak awal November lalu walaupun sentimen sederhana masih mempengaruhi momentum mereka terutama menjelang pengumuman Belanjawan 2021. 

"Namun, kami menjangkakan momentum pembelian pelabur runcit akan meningkat minggu hadapan, disokong petunjuk positif garis panduan fiskal negara pada 2021," katanya. 

Menurut MIDF Research, pembelian bersih pelabur runcit berjumlah RM11.69 bilion manakala institusi tempatan pula, RM10.82 bilion setakat tahun ini. - DagangNews.com