Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jun - Jumlah jualan kenderaan di Malaysia dijangka terus menjunam hingga 25% menjelang suku kedua 2021 (2Q21).
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan penurunan itu dilihat susulan pelaksanaan PKP penuh atau 'lockdown'.
"Jumlah keseluruhan industri (TIV) boleh menyusut sebanyak 20% hingga 25% pada suku kedua 2021 berbanding suku sebelumnya disebabkan oleh PKP penuh.
"Bagaimanapun, situasi berkenaan dijangka kembali pulih pada separuh kedua 2021 (2H21) disebabkan oleh lanjutan pengecualian cukai jualan.
"Oleh itu, kami kekalkan jangkaan TIV pada 2021 sebanyak 580,000 unit kenderaan," jelas CGS-CIMB Research.
Jualan kenderaan pada Mei merosot 19% kepada 46,663 unit, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Mengikut perbandingan tahunan, jualan yang dicatatkan pada Mei adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding 23,366 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
CGS-CIMB Research berkata, landskap jualan kurang memberangsangkan pada Mei berlaku disebabkan oleh jualan yang lebih rendah kedua0dua kenderaan jenis penumpang (-20%) dan kenderaan komersial (-12%).
Selain itu, situasi berkenaan turut dikaitkan dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan jumlah hari bekerja yang singkat akibat cuti Hari Raya, selain faktor kekurangan cip yang berterusan.
Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, meskipun TIV dijangka akan kembali pulih pada separuh kedua 2021, pihaknya tetap melihat risiko penurunan sebanyak 10% sekiranya kerajaan terus melanjutkan PKP penuh hingga Julai.
Mengulas perkara sama, Kenanga Research berkata, prestasi TIV yang diletakkan pihaknya akan disokong oleh lanjutan pengecualian SST yang berlangsung hingga akhir tahun 2021.
"Walaupun prestasi jualan dan pengeluaran kenderaan sedikit terhenti akibat penutupan bilik pameran semasa PKP 3.0 Fasa 1, ia akan diimbangi oleh jumlah bekalan yang mencukupi untuk model baharu bagi memperoleh margin yang lebih baik," jelas Kenanga Research.
Kenanga Research turut meningkatkan jumlah sasaran TIV bagi sebanyak 3% tahun 2021 kepada 545,000 unit. - DagangNews.com