Jualan langsung hampiri sasaran RM20 bilion | DagangNews Skip to main content

Jualan langsung hampiri sasaran RM20 bilion

Jualan Langsung. Gambar oleh Rallyware

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Jumlah jualan langsung atau 'direct selling' dijangka akan mencapai sasaran RM20 bilion pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan jumlah peningkatan yang dicatat sejak 2017.

"Pada 2017 jumlah jualan ialah RM13.6 bilion, meningkat kepada RM15.9 bilion pada 2018 dan meningkat RM17.9 bilion pada 2019.

"Dan untuk makluman, hingga Julai 2020 kita telah mencatat hingga RM16.9 bilion. Kita merasakan untuk mencapau RM20 bilion itu akan menjadi kenyataan," jelasnya ketika menjawab pertanyaan lisan Pang Hok Liong (PH-Labis) di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol Wahid
Rosol Wahid

 

Penjelasan tersebut diberikan selepas Ahli Parlimen Labis itu meminta Rosol menyatakan prestasi jualan langsung serta jumlah syarikat terlibat yang telah ditutup.

Jelas Rosol lagi, Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) turut menyatakan peningkatan jualan langsung berjaya mencecah 20% hingga 30% sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menjawab soalan berkaitan syarikat yang terpaksa ditutup, beliau memberitahu, syarikat-syarikat yang terlibat dengan jualan langsung di negara ini mula menunjukkan perkembangan positif berkaitan etika dan tatacara jualan.

Pang Hok Liong
Pang Hok Liong

 

"Pada 2012 hingga 2016, hanya 16 syarikat yang telah ditutup dan dibatalkan lesen oleh kerajaan. Namun pada 2017 hingga kini, tiada syarikat yang dibatalkan lesen mereka.

"Ini menunjukkan bahawa syarikat-syarikat jualan langsung yang ada di negara kita mematuhi etika dan tatacara jualan langsung," jelasnya lagi.

Pihaknya juga turut menerbitkan buku kod etika dan tatacara juala langsung dengan kerjasama MDDA dan Direct Selling Association of Malaysia (DSAM). - DagangNews.com