KUALA LUMPUR 22 Jun - Belum genap setahun pengeluaran model iPhone 12 mini, syarikat pengeluarnya Apple Inc. (Apple) dilaporkan telah menghentikan pengeluaran model berkenaan pada suku kedua 2021 (2Q21).
Penganalisis pasaran terkemuka global, TrendForce dalam laporannya memberitahu, pengeluaran produk berkenaan dihentikan susulan prestasi jualan yang mengecewakan.
Jelas TrendForce, jualan iPhone 12 mini adalah mengecewakan berbanding dengan model iPhone 12 lain.
"Apple dijangka akan memberi tumpuan untuk meningkatkan jualan ketiga-tiga model bukan mini dalam siri iPhone 12, memandangkan iPhone 12 mini telah ditamatkan pengeluaran lebih awal pada 2Q21.
"Model berkenaan mengalami prestasi jualan yang mengecewakan berbanding dengan model lain dalam siri iPhone 12," jelas TrendForce.
Siri iPhone 12 mula dilancarkan pada 14 Oktober 2020 dengan menampilkan empat model terbaharunya iaitu iPhone 12, iPhone 12 mini, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max.
Kesemua siri berkenaan mula menembusi pasaran Malaysia menjelang November 2020.
Baca: Apple lancar 4 model iPhone 12
Tampi dengan lima pilihan warna iaitu hitam, putih, merah, hijau dan biru, iPhone 12 mini dilengkapi dengan dua kamera di bahagian belakang.
Pada April 2021, Apple bagaimanapun mengumumkan penampilan warna baharu iaitu ungu yang menjadi pelengkap kepada enam variasi warna siri iPhone 12.
Baca: Penampilan ungu lengkapkan 6 variasi warna iPhone 12
Dengan kelebihan tersebut, model berkenaan dijual pada harga AS$699 atau RM3,399.
Mengulas berkaitan harga tersebut, Soya Cincau memberitahu, harga yang ditawarkan pada model iPhone 12 mini adalah tinggi, maka tidak hairanlah sekiranya produk berkenaan tidak terjual.
"Lihat sajalah harganya yang bermula RM3,399 untuk storan 64GB sahaja. Pada harga sebegitu, anda boleh dapatkan iPhone SE dengan storan 256GB dan masih ada baki RM700 untuk aksesori lain.
"Atau tambah RM500 untuk dapatkan iPhone 12 yang miliki kapasiti bateri yang lebih besar," jelas Soya Cincau. - DagangNews.com