Jumlah pelaburan diluluskan 1H24 naik 18% kepada RM160 bilion, cipta 79,000 pekerjaan - MIDA | DagangNews Skip to main content

Jumlah pelaburan diluluskan 1H24 naik 18% kepada RM160 bilion, cipta 79,000 pekerjaan - MIDA

Malaysia terima pelaburan RM160 bilion pada 1H2024, kata MIDA. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Sept - Jumlah pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2024 (1H24) meningkat 18% kepada RM160 bilion dengan melibatkan lebih 79,000 peluang pekerjaan baharu, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Menurut agensi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, peningkatan pelaburan yang ketara itu menunjukkan daya tarikan berterusan Malaysia kepada pelabur dan ketahanannya dalam menghadapi ketidakpastian ekonomi global.

 

"Peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 18% tahun ke tahun kepada RM160 bilion merentasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dari Januari hingga Jun 2024.

 

"Kenaikan pelaburan ini disokong oleh sejumlah 2,948 projek pelaburan, yang dijangka mencipta sebanyak 79,187 peluang pekerjaan baharu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut MIDA, pelaburan domestik (DI) mengambil alih sebagai peneraju untuk 1H24 dengan menyumbang 53.4% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM85.4 bilion. 

 

MIDa1

 

"Sebaliknya, pelaburan asing (FI) menyumbang sebanyak 46.6% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, bernilai RM74.6 bilion.

 

"Walaupun kedua-dua DI dan FI memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi Malaysia, peningkatan ketara dalam sumbangan DI kepada pertumbuhan negara adalah petunjuk jelas mengenai keyakinan perniagaan tempatan, yang memberi prospek baik untuk pembangunan ekonomi negara," jelasnya.

 

Tambah MIDA, lima negeri utama yang menarik pelaburan terbanyak di Malaysia adalah Kuala Lumpur (RM37.6 bilion), Selangor (RM35 bilion), Kedah (RM31.9 bilion), Pulau Pinang (RM13.1 bilion) dan Johor (RM12.9 bilion).

 

"Kerajaan Madani yang stabil dan persekitaran mesra perniagaan yang kukuh adalah antara nilai utama Malaysia untuk terus menarik pelaburan asing. 

 

"Austria mendahului pelaburan yang diluluskan dengan RM30.1 bilion, diikuti oleh Singapura RM16.5 bilion, China RM9.8 bilion, Belanda RM4 bilion dan Taiwan RM2.4 billion," ujarnya.

 

mida2

 

Jelas MIDA, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak RM97.2 bilion atau 60.7% daripada jumlah kelulusan pelaburan pada 1H24 melibatkan penciptaab 45,249 peluang pekerjaan baharu.

 

Katanya, pertumbuhan sektor ini dipimpin oleh pelaburan domestik yang menyumbang 72.5% daripada jumlah kelulusan dalam sektor perkhidmatan dengan nilai RM70.5 billion manakala pelaburan asing mencatatkan RM26.7 bilion atau 27.5%.

 

"Subsektor yang mencatat prestasi terbaik di bawah sektor perkhidmatan adalah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) – RM45.9 bilion, Hartanah – RM31.0 bilion, Perkhidmatan Pengangkutan – RM4.9 bilion, Utiliti – RM4.0 bilion dan Penubuhan Global – RM3.6 bilion," ujarnya.

 

mida3

 

Sektor pembuatan pula menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM60.1 bilion pada 1H24, mewakili peningkatan ketara sebanyak 34.1% daripada RM44.9 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Pelaburan yang diluluskan tersebar di 519 projek, dijangka mencipta kira-kira 33,887 peluang pekerjaan dengan 80.0% daripada pekerjaan tersebut (27,121) diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

 

"Kebanyakan pekerjaan baharu adalah dalam bidang nilai tinggi, dengan 42.7% dalam peranan pengurusan, profesional, teknikal, penyeliaan, dan buruh mahir, menunjukkan tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pelatihan semula tenaga kerja tempatan.

 

"Pelaburan asing mendahului, menyumbang RM47.6 bilion atau 79.2%, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM12.5 bilion atau 20.8%," katanya.

 

Antara projek utama dalam sektor perkhidmatan ialah pelaburan Asiabina Solar Sdn. Bhd The sebanyak RM200.4 juta membangunkan projek solar berskala besar (LSS) 50MW di Parit Buntar dan pelaburan RM150 juta President Hotel Sdn Bhd, sebahagian daripada Pan Pacific Hotel Group.

 

Syarikat ini membuat pelaburan bagi menaik taraf kemudahan penginapannya di Kuala Lumpur.

 

Projek utama bagi sektor pembuatan pula ialah pelaburan Sena Diecasting Industries Sdn. Bhd. dan Tengma Textile Sdn. Bhd.

 

"Tengma Textile Sdn. Bhd. berhasrat untuk melabur RM458 juta dalam pembangunan dan pengeluaran denim indigo untuk memperkukuh kedudukannya dalam industri tekstil," kata MIDA.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi pelaburan Malaysia yang kukuh pada 1H24 adalah bukti komitmen kerajaan dalam mencipta persekitaran yang propelaburan dan mesra perniagaan yang memupuk transformasi industri dan pertumbuhan ekonomi. 

 

Kata beliau, ASEAN dijangka berkembang pada kadar 4.6% pada 2024 dan 4.7% pada 2025 berikutan peningkatan kukuh dalam permintaan domestik dan luaran, dan Malaysia bertekad untuk merebut peluang pertumbuhan ini. 

 

"Angka pelaburan yang diluluskan untuk 1H24 mencerminkan bagaimana pelabur menghargai dasar jelas Malaysia yang menyediakan landskap kondusif untuk syarikat berkembang.

 

"Didorong oleh rangka kerja kami yang kukuh, seperti Rancangan Induk Industri Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Kebangsaan, dan Strategi Pelaburan Hijau, semakin banyak perniagaan global mula mengiktiraf potensi luas Malaysia. 

 

"MITI dan MIDA akan terus memasarkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan serantau untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, sambil memastikan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS kami dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia," katanya.- DagangNews.com