Jumlah subsidi lebih besar untuk rakyat menerusi Bajet 2023 - MoF | DagangNews Skip to main content

Jumlah subsidi lebih besar untuk rakyat menerusi Bajet 2023 - MoF

KUALA LUMPUR 12 Okt - Jumlah subsidi yang diperuntukkan untuk rakyat di bawah Bajet 2023 berjumlah RM55 bilion, lebih besar berbanding RM31 bilion pada 2022.

 

Kementerian Kewangan berkata, anggaran RM55 bilion itu berdasarkan harga minyak mentah yang dijangka turun kepada AS$90 (RM421.32) setong, selain harga komoditi lain yang dijangka turun berikutan kelembapan global tahun depan.

 

Subsidi khusus bagi kumpulan berpendapatan B40 dan M40 turut meningkat bagi 2023.

 

"Peruntukan bagi bantuan sosial dan subsidi meningkat dua kali ganda daripada 5.2% kepada 11.3% daripada perbelanjaan operasi manakala bantuan tunai kepada B40 adalah kira-kira RM10 bilion.

 

"Bajet 2023 turut memperuntukkan RM1 bilion untuk program miskin tegar bagi membantu mereka menerusi inisiatif ekonomi dan pertanian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kementerian itu berkata, peruntukan subsidi 2022 adalah RM31 bilion, namun perbelanjaan subsidi mencecah RM77.7 bilion tahun ini disebabkan oleh gangguan bekalan global yang menyebabkan inflasi melonjak.

 

bajet

 

"Sebagai contoh tahun ini, harga minyak melonjak kepada AS$120 (RM561.76) setong, menyebabkan subsidi lebih tinggi bagi bahan api RON95 manakala harga arang batu lebih tinggi turut menyebabkan lebih banyak subsidi bagi menjana tenaga elektrik," tambahnya.

 

Sementara itu, kementerian itu berkata, kuota 1% untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) yang diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP adalah kekal walaupun perkara itu tidak disebut ketika pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu.

 

"Kuota 1% untuk OKU memang diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP yang bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak, namun perkara ini tidak disebut ketika pembentangan kerana kebanyakan langkah utama Bajet 2023 disampaikan secara am bagi mematuhi had masa ditetapkan,"

 

MOF memaklumkan, gaji MySTEP juga dicadangkan untuk dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100.

 

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan terus memperkasa OKU menerusi pelbagai langkah termasuk bantuan tunai langsung, bantuan mobiliti, pembinaan taska khas OKU dan penambahbaikan fasiliti mengajar di sekolah OKU.

 

Pada masa sama, peruntukan Bantuan Khas Kewangan RM350 kepada pesara bakal dibuat pada Januari 2023, manakala Bantuan Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300 bakal dibayar pada Mac 2023 kepada 1 juta pesara. - DagangNews.com