K-One Technology terima kelulusan MDA edar, jual pita pelekat silikon pembalut penjagaan luka | DagangNews Skip to main content

K-One Technology terima kelulusan MDA edar, jual pita pelekat silikon pembalut penjagaan luka

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - K-One Technology Berhad menerusi anak syarikatnya, K-One MediTech Sdn Bhd menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Kementerian Kesihatan untuk mengedar dan menjual pita pelekat silikon bagi pembalut penjagaan luka.

 

K-One Group akan menjual pita pelekat silikon di Malaysia sebagai wakil sah Wuhan Huawei Technology Co., Ltd  yang merupakan pengeluar yang berpangkalan di China.

 

Pita pelekat silikon adalah pembalut luka lanjutan yang terdapat dalam tiga jenis produk.

 

"Dua kategori produk pertama boleh digunakan untuk pelbagai kateter, elektrod atau penetapan luaran lain yang memerlukan perlindungan dan lekatan kulit yang lembut tetapi teguh, manakala jenis produk ketiga membantu memperbaiki penampilan parut (termasuk hipertrofik dan keloid) serta memulihkan kulit kepada warna dan tekstur yang lebih semula jadi.

 

"Ia juga mengurangkan rasa gatal kulit dan ketidak selesaan dengan parut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

MDA telah meluluskan pengedaran dan penjualan pita pelekat silikon itu untuk tempoh lima tahun dari 26 September 2022 hingga 25 September 2027.

 

Kelulusan itu akan memberi peluang kepada K-One Group untuk mengembangkan lagi perniagaan peranti perubatannya.

 

"Pasaran pembalut luka pita pelekat silikon semakin berkembang kerana permintaannya dijangka meningkat seiring dengan peningkatan trend pembedahan yang dijalankan di Malaysia (dan di luar negara).

 

"Selain itu, peningkatan kesedaran berkaitan penggunaan pita perubatan untuk keselamatan di kalangan doktor dan pesakit dan peningkatan kejadian luka, melecur, kecederaan dijangka akan meningkatkan permintaan pasaran," katanya.

 

Kelulusan itu akan memberi impak kepada aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 namun ia tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang diterbitkan dan berbayar dan pegangan saham pemegang saham yang besar syarikat. - DagangNews.com