Kadar faedah AS dijangka kekal sehingga 2021 | DagangNews Skip to main content

Kadar faedah AS dijangka kekal sehingga 2021

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka mengekalkan kadar faedahnya sekurang-kurangnya sehingga tahun depan dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa. 

Dalam masa sama, prospek bagi suku keempat tahun ini dan 2021 juga masih samar selagi vaksin bagi mengawal penularan COVID-19 belum ditemui. 

MIDF Research menyifatkan kadar faedah pada 0-0.25% sebagai tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi adalah memadai untuk merangsang permintaan domestik memandangkan kos kredit bagi pengguna dan perniagaan adalah rendah. 

Katanya, sokongan dasar seperti ini akan lebih berkesan apabila ekonomi mula kembali pulih. 

"Sehubungan itu, kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedah pada tahap semasa. 

"Aktiviti domestik dan luaran juga dijangka merekodkan prestasi lebih baik pada separuh kedua 2020 walaupun pemulihan sepenuhnya masih lagi jauh," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Semalam, Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada 0-0.25% dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).  

Keputusan yang dibuat mesyuarat itu menepati jangkaan pelbagai pihak memandangkan penularan wabak COVID-19 masih memberi risiko besar kepada prospek ekonomi. 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum itu mengunjurkan ekonomi AS akan menguncup -4.3%, berbanding -8% dalam unjuran sebelum ini disokong oleh dasar monetari dan fiskal yang berkembang. 

Walaupun data-data menunjukkan petanda ke arah pemulihan tetapi prestasi masih kekal di bawah tahap prapandemik. 

Menurut MIDF Research, masih terdapat beberapa ketidaktentuan yang akan mempengaruhi keadaan termasuk ketegangan geopolitik, dasar perlindungan dan hubungan antara AS-China yang akan terus mempengaruhi ketidakpastian dalam pemulihan ekonomi. - DagangNews.com