PUTRAJAYA 10 Jan - Bilangan penganggur menurun kepada 600,900 orang pada November 2022 berbanding 602,000 pada Oktober 2022, mengekalkan kadar pengangguran pada paras 3.6%, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada November 2022, pasaran buruh semakin kukuh sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.
Oleh itu kata beliau, keadaan tenaga buruh terus berkembang pada bulan itu, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan orang yang bekerja manakala bilangan orang yang menganggur berkurangan.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada November 2022, dengan penambahan 0.2% bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang (Oktober 2022: 16.68 juta orang), manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 mata peratusan kepada mencatatkan 69.8% (Oktober 2022: 69.7%),” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa yang sama, bilangan pekerja terus meningkat sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang (Oktober 2022: 16.08 juta orang).
Pada November 2022, bilangan orang di luar tenaga buruh terus menurun dengan pengurangan 1.6 ribu orang (-0.02%) kepada 7.24 juta orang (Oktober 2022: 7.24 juta orang).
DOSM berkata kerja rumah/keluarga merupakan sebab utama tenaga buruh luar dengan 43.1%, diikuti oleh persekolahan/latihan sebanyak 41.3%.
Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatat pertumbuhan positif dalam bilangan pekerja, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman serta aktiviti maklumat dan komunikasi.
Dalam pada itu, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan peningkatan dalam bilangan orang yang bekerja, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan & kuari mencatatkan peningkatan buat kali pertama sejak Julai 2020.
“Pengoperasian berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga penghujung 2022 membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat.
“Sehubungan itu, pasaran buruh juga dijangka terus mengekalkan momentum pemulihannya ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan lebih menggalakkan sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa yang positif, terutamanya pada awal 2023,” kata Mohd Uzir. - DagangNews.com