Kanger dapat 'lampu hijau' pemegang saham, ambil alih 51% ekuiti Sung Master | DagangNews Skip to main content

Kanger dapat 'lampu hijau' pemegang saham, ambil alih 51% ekuiti Sung Master

Kanger International Berhad (Kanger)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kanger International Berhad (Kanger) mendapat persetujuan dan kelulusan pemegang sahamnya terhadap cadangan pengambilalihan 51% ekuiti syarikat pembekal bahan binaan, Sung Master Holdings Sdn Bhd (Sung Master).

 

Kelulusan tersebut disepakati melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan dibuat dengan harga RM94.8 juta melalui gabungan tunai dan penerbitan saham baharu.

 

Pengarah Eksekutifnya, Steven Kuah Choon Ching berkata, pengambilalihan Sung Master adalah langkah penting dalam rancangan strategik kumpulan untuk mengembangkan aliran pendapatan baharu dalam segmen perniagaan berkaitan hartanah dan pembinaan.

 

Steven Kuah Choon Ching
Steven Kuah Choon Ching 

 

"Kami gembira memperoleh persetujuan pemegang saham bagi pemerolehan ini yang membolehkan kami meluaskan lagi penawaran produk.

 

"Ia secara tidak langsung membolehkan kami meluaskan pasaran dan kapasiti operasi di samping menembusi bahagian pasaran yang lebih besar dalam perdagangan industri bahan binaan di Malaysia.

 

"Meskipun ada gangguan akibat pandemik COVID-19, operasi perniagaan Sung Master terus menunjukkan daya tahan yang kukuh. Bagi jangkaan tahun kewangan 30 Jun 2021, perolehan Sung Master dijangka melebihi RM115 juta. Oleh itu, gabungan prestasi kewangan ini akan meningkatkan kedudukan dan aliran tunai kumpulan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sung Master secara dominannya terlibat dalam aktiviti jualan dan perdagangan bahan binaan yang meliputi lantai kayu, jubin, simen pukal, konkrit, tombol pintu dan peralatan pembersihan.

 

Berpusat di Malaysia, syarikat berkenaan mempunyai rangkaian pelanggan merangkumi pemain industri hartanah dan pembinaan serta perunding kejuruteraan yang merupakan kontraktor utama atau sub-kontraktor projek pembinaan.

 

Sejak beroperasi hingga April 2021, Sung Master berjaya membekalkan bahanya dalam 22 projek yang terdiri daripada projek pembangunan kediaman dan  campuran yang banyak terletak di Lembah Klang dan Pahang.

 

Cadangan pengambilalihan Sung Master dijadualkan selesai pada pertengahan September 2021.

 

Bagi rekod, Kanger baru-baru ini turut memperoleh kelulusan pemegang saham terhadap cadangan pengambilalihan 126 unit pangsapuri yang terletak di Antara@Genting Highlands daripada Aset Kayamas Sdn. Bhd (AKSB) dengan harga RM142.9 juta. - DagangNews.com