Kanger meterai perjanjian beli vaksin Sinopharm dari Arab | DagangNews Skip to main content

Kanger meterai perjanjian beli vaksin Sinopharm dari Arab

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kanger International Berhad memeterai perjanjian induk (HOA) yang terikat dan bersyarat dengan Sparmak Medical Equipment Trading LLC (Sparmark LLC) bagi pembelian vaksin COVID-19 Sinopharm yang dikeluarkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Perjanjian itu membabitkan anak syarikatnya, Kanger Medical International Sdn. Bhd. manakala Sparmark LLC adalah rakan kongsi sah bagi G42 Medications Trading LLC.

 

Awal tahun ini, Sinopharm menjalin kerjasama dengan G42 yang berpangkalan di UAE untuk menghasilkan vaksin Sinopharm di benua tersebut di bawah jenama Hayat-Vax. Vaksin buatan UAE ini adalah vaksin COVID-19 pertama yang dihasilkan di dunia Arab.

 

 

Steven Kuah Choon Ching
Steven Kuah Choon Ching

 

 

Pengarah Eksekutif Kanger, Steven Kuah Choon Ching berkata, perjanjian itu menandakan bermulanya kerjasama strategik untuk mengagihkan vaksin yang dihasilkan UAE ke Malaysia. 

 

Katanya, vaksin Hayat-Vax secara dasarnya adalah vaksin COVID-19 Sinopharm yang sama dan dihasilkan di negara tersebut. 

 

"Di tengah bekalan vaksin yang terhad dan kes semakin meningkat, kami percaya sangat penting untuk mencari sumber bekalan alternatif bagi mempercepat usaha vaksinasi di Malaysia.

 

"Oleh itu, kami yakin rakyat Malaysia akan menerima vaksin ini dengan baik dalam usaha memerangi pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi perjanjian itu, Kanger menyasarkan untuk membeli 5 juta dos vaksin dengan penghantaran bermula seawal Julai ini. 

 

Malah, HOA itu juga memberi pilihan kepada Kanger untuk membeli lagi tambahan 5 juta dos vaksin COVID-19.

 

Kanger juga diberi kelulusan oleh G42 untuk menjadi pemegang pendaftaran produk dan pengedar sah bagi vaksin Hayat-Vax di Malaysia. 

 

Bagi pihak G42, Kanger memaklumkan telah mengemukakan permohonan yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan dari Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) supaya vaksin Hayat-Vax dapat digunakan di negara ini. - DagangNews.com