KDN pertingkat dan ketatkan operasi pematuhan SOP COVID-19 | DagangNews Skip to main content

KDN pertingkat dan ketatkan operasi pematuhan SOP COVID-19


KUALA LUMPUR 24 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN)  telah mengarahkan semua Jabatan dan Agensi penguatkuasaan di bawah KDN seperti PDRM, JIM, PENJARA, RELA, ESSCOM, AADK dan AKSEM untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan, memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati telah melanggar SOP yang telah diwartakan.

 

Dalam kenyataan di sini, KDN berkata, selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lapangan, pemantauan juga akan dijalankan di seluruh negara termasuk di premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing.

 

"KDN memantau rapat perkembangan penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan mengambil maklum keputusan Kerajaan untuk memperketatkan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, PKPB dan PKPP) yang ditetapkan bertujuan membendung penularan jangkitan COVID-19.

 

"Kementerian menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang telah diputuskan oleh Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil Kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik COVID-19," kata KDN.

 

Menurut KDN lagi, sejak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai Jabatan dan Agensi KDN telah terlibat dalam penugasan COVID-19. - DagangNews.com