KDNK Malaysia dijangka 'u-turn' dari landasan negatif pada 2Q - AmBank | DagangNews Skip to main content

KDNK Malaysia dijangka 'u-turn' dari landasan negatif pada 2Q - AmBank

Malaysia. Kredit foto Al-Jazeera

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyaksikan peralihan daripada landasan negatif pada suku kedua 2021.

 

AmBank Research berkata, jangkaan hasil yang lebih positif itu adalah kali pertama sejak empat suku terakhir sebelumnya.

 

"Dengan purata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) suku kedua pada 25.9% berbanding tahun sebelumnya (1Q21:4.0% yoy) dan eksport pada 44.0% berbanding tahun lalu dan ditambah dengan asas yang rendah, KDNK 2Q dijangka keluar daripada landasan negatif sejak empat suku lalu.

 

"KDNK 2Q cenderung bergerak sekitar 11% hingga 13%.

 

"Buat masa ini kami mengekalkan prospek KDNK sebanyak 4.0% hingga 4.5% bagi tahun 2021," jelas AmBank Research.

 

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Jun menyaksikan peningkatan dengan kapasiti yang perlahan sebanyak 1.4% berbanding tahun lalu.

 

Peningkatan itu disokong oleh sektor perlombongan sebanyak 10.3% tahun ke tahun, sementara sektor pembuatan sebanyak -0.2% tahun ke tahun didorong oleh aktiviti eksport domestik yang terkesan dengan pelaksanaan 'lockdown'.

 

Sementara itu, sektor elektrik juga turut menyusut pada Jun dengan penurunan -4.8% tahun ke tahun.

 

Sektor perkilangan pula mendapat kelebihan daripada aktiviti eksport dan meningkat sebanyak 8.7% tahun ke tahun pada Jun berbanding 25.3% pada Mei.

 

Sektor berkenaan turut mendapat sumbangan positif oleh aktiviti semikonduktor yang berkaitan dengan perubatan dan berasaskan sumber.

 

Bagaimanapun, industri pembuatan domestik menjunam 20.8% tahun ke tahun pada Jun berbanding peningkatan 38.8% pada Mei.

 

Prestasi tersebut terjejas akibat daripada PKP 3.0 dan SOP yang lebih ketat.

 

"Prospek bagi separuh kedua 2021 bergantung kepada kepantasan vaksinasi, pengurusan kes COVID-19, pembukaan semula ekonomi, pakej rangsangan kerajaan serta tahap kestabilan domestik," ujar AmBank Research lagi. - DagangNews.com