KDNK negara diunjur berkembang 5.1% pada suku pertama 2023, Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

KDNK negara diunjur berkembang 5.1% pada suku pertama 2023, Kenanga Research

KUALA LUMPUR 4 April - Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.1% pada suku pertama 2023, berikutan prestasi pembuatan yang lebih baik dicatatkan pada Mac 2023, kata Kenanga Research.

 

Semalam, S&P Global melaporkan pelarasan musim bagi indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan Malaysia meningkat kepada paras tertinggi lima bulan 48.8 pada Mac 2023 daripada 48.4 pada Februari 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan permintaan dalam sektor pembuatan.

 

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2023 akan mencapai 4.7% disokong oleh permintaan domestik dan langkah dasar yang berdaya tahan di bawah Belanjawan 2023.

 

"Ini akan dirangsang lagi oleh ketibaan pelancong asing yang lebih tinggi dan kesan pembukaan semula China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini, lapor Bernama.

 

Mengenai prestasi sektor perkilangan, firma itu berkata, walaupun PMI pembuatan kekal pada tahap penguncupan 47.9 secara purata pada suku pertama 2023 berbanding 48.1 pada suku keempat 2022, mereka percaya aktiviti pembuatan di negara ini boleh mengekalkan tahap sederhana pemulihan dalam beberapa bulan akan datang.

 

Firma itu berkata, pemulihan itu akan disokong terutamanya oleh sektor berorientasikan domestik.

 

Bacaan melebihi 50% menandakan pengembangan dalam aktiviti perniagaan manakala angka kurang daripada itu menunjukkan penguncupan. - DagangNews.com