KUALA LUMPUR 31 Mac - AmBank Economic Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.5% bagi 2023.
Ia adalah selaras dengan unjuran perkembangan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% seperti yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.
Firma itu berkata, penggunaan swasta dilihat berkembang pada 6.1%, disokong oleh peningkatan dalam pasaran tenaga kerja, pemberian tunai oleh kerajaan dan kunci kira-kira pengguna yang kukuh.
"Berdasarkan masalah di peringkat global, aktiviti domestik dijangka memainkan peranannya dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, jurang keluaran, yang mengukur perbezaan antara keluaran berpotensi dan keluaran sebenar, dijangka berubah menjadi positif pada separuh kedua 2023 dengan pertumbuhan KDNK tahun ini disokong beberap faktor termasuk peningkatan dalam pasaran tenaga kerja dan tahap pendapatan.
Selain itu, ia turut disokong projek pelaburan baharu sedia ada selain pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.
"Bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, potongan cukai pendapatan untuk kumpulan pendapatan terpilih dan pemotongan cukai untuk perusahaan kecil dan sederhana juga antara faktor menyokong," katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong prospek pertumbuhan negara menyederhana pada tahun ini termasuk peningkatan inflasi, aktiviti perdagangan yang lebih perlahan, peningkatan kos sara hidup dan keadaan kewangan global.
Pada masa sama, firma itu melihat perkara sama dari segi permintaan dengan pekrembangan kadar upah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berada pada arah aliran menurun sejak suku ketiga 2022.
Katanya, aktiviti pekerjaan, yang dikaitkan dengan inflasi teras, juga semakin perlahan selepas memuncak pada 4.5% pada Julai 2022.
"Bagaimanapun, perniagaan masih berhasrat untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja pada 2023 yang bermaksud pekerja boleh meminta gaji yang lebih tinggi untuk mengimbangi paras harga yang lebih tinggi.
"Pada masa hadapan, sebarang kejutan peningkatan yang didorong domestik mungkin berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit yang lebih ketara, isu logistik untuk bekalan makanan dan perubahan dalam harga runcit petrol dan barangan makanan terkawal," katanya. - DagangNews.com