KDNK Selangor diunjur berkembang antara 6.5% hingga 7% dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

KDNK Selangor diunjur berkembang antara 6.5% hingga 7% dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Selangor diunjur berkembang antara 6.5% hingga 7% pada 2021-2025.

 

MIDF Research berkata, menerusi Rancangan Selangor-1 (RS-1), ramalan yang dibuat kerajaan negeri itu adalah lebih tinggi berbanding ramalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu 4.7%.

 

"Sekiranya ekonomi Selangor berkembang melebihi 6.5%, kami percaya sumbangan ekonomi negeri kepada KDNK negara akan melepasi paras 25%, berbanding 23.8% pada sasaran 2025 di bawah RMK-12," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RS-1 merupakan pelan pembangunan bagi negeri Selangor untuk melakar laluan ke arah menjadi negeri pintar, boleh didiami dan makmur untuk lima tahun akan datang mulai 2021.

 

Rangka tindakan itu mempunyai empat tema strategik iaitu ekonomi, sosial, kemampanan dan tadbir urus dengan 261 inisiatif.

 

Firma itu berkata, RS-1 juga menetapkan sasaran pendapatan median isi rumah di Selangor mencecah RM9,290 sebulan menjelang 2025 (2019: RM8,210).

 

Katanya, di bawah sasaran kemampanan 2025, negeri menetapkan pengurangan jangkauan dalam intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) kepada KDNK pada 35% dan 15% kadar kitar semula air.

 

"Kami berpendapat sasaran RS-1 adalah penting bagi negeri ini dan juga Malaysia berdasarkan saiz ekonomi negeri.

 

"Tema, strategi dan sasaran akan membentuk landskap baharu bagi ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada prestasi makroekonomi dan pasaran kewangan Malaysia," katanya. - DagangNews.com