Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pasaran saham FBM KLCI dilihat masih tiada beza di tengah-tengah kekurangan pemangkin baharu, biarpun ia ditutup tinggi semalam.
Inter-Pacific Securities berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada prestasi FBM KLCI semalam dapat dikekalkan.
Dalam buletin hariannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata FBM KLCI mengalami kenaikan dibantu oleh minat putaran di antara konstituen yang berkaitan dengan indeks, terutamanya pembuat sarung tangan dan sektor minyak & gas yang kembali meningkat berikutan peningkatan minat asing.
"Bagaimanapun secara keseluruhan, pasaran yang lebih luas kebanyakannya tidak menggembirakan, ini dapat dilihat apabila kaunter rugi masih mendahului pada hari berkenaan," katanya dalam buletin hariannya di sini hari ini.
Tambah Inter-Pacific Securities, syarikat berkaitan teknologi merupakan antara yang mengalami kerugian besar berikutan lebih banyak pengambilan untung muncul selepas kenaikan mereka baru-baru ini.
"Untuk sementara waktu, pengambilan untung mungkin berlaku berikutan terdapat beberapa keuntungan baru-baru ini berikutan kelemahan ekuiti global.
"Oleh itu, kami berpendapat trend berhati-hati mungkin muncul semula dan harga saham dapat ditekan lagi walaupun kami masih melihat sokongan yang mungkin membolehkan indeks utama berada di atas paras 1,540 buat masa ini.
Sementara itu Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan kenaikan semalam, seiring dengan sentimen lemah di pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.43 mata kepada 1,537.39 daripada 1,546.82 sewaktu ditutup pada Selasa. DagangNews.com