Kebergantungan Inari Amertron terhadap segmen frekuensi radio dijangka kekal tinggi, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kebergantungan Inari Amertron terhadap segmen frekuensi radio dijangka kekal tinggi, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - MIDF Research menjangkakan kebergantungan Inari Amertron Bhd terhadap segmen perniagaan frekuensi radio (RF) kekal tinggi kerana ia menyumbang 60% kepada hasil kumpulan pada 3QFY24.

 

Katanya, selain RF, segmen optoelektronik menyumbang 34% daripada hasil kumpulan manakal 6% lagi disumbangkan segmen generik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil 9MFY24 terdiri daripada RF (63%), optoelektronik (33%) dan generik (8%). 

 

"Pengurusan menyatakan bahawa sumbangan daripada RF masih akan membentuk sebahagian besar hasil kumpulan pada masa hadapan.

 

"Walaupun begitu, kumpulan itu juga sedang giat mengembangkan segmen perniagaan bukan RF, terutamanya segmen perindustrian dan automotif. Ini akan disokong oleh strategi China + 1 dan Taiwan + 1," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) ialah RM73.72 juta berbanding RM57.36 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil bagi suku tersebut melonjak 26% kepada RM347.63 juta daripada RM275.6 juta.

 

Bagi 9MFY24, untung bersih kumpulan itu susut 4.6% kepada RM245.51 juta berbanding RM257.22 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Pendapatan teras Inari 9MFY24 sebanyak RM239 juta adalah meleset daripada jangkaan disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan margin pelunasan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi 9MFY24, kumpulan itu telah melabur RM137 juta dalam teknologi serta aliran perniagaan baharu dengan sebahagian besarnya dibelanjakan untuk penambahan talian Sistem Dalam Pakej (SiP) baharu manakal RM20 juta lagi dijangka dibelanjakan pada 4QFY24.

 

"Perbelanjaan modal yang berterusan adalah sebahagian daripada rancangan kumpulan untuk meningkatkan keupayaannya dalam rantaian nilai, terutamanya dalam pembungkusan termaju dan pembuatan autonomi. 

 

"Ini dibantu oleh sistem pelaksanaan pembuatan kumpulan yang direka bentuk berdasarkan falsafah industri asas 4.0," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM3.11 sesaham. - DagangNews.com