Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Nov. - Pasaran tempatan kembali berada di bawah paras 1,600 mata menjejaki pasaran serantau yang lemah apabila peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia mula membimbangkan pasaran dan membayangi perkembangan vaksin yang sebelum ini menyuntik keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global.
Indeks FBM KLCI susut 21.07 mata atau 1.31% kepada 1,583.68 mata ketika ditutup petang ini selepas bergerak sepanjang hari dengan jajaran 1,583.68 hingga 1,596.55 mata.
Ia menyaksikan 9.53 bilion saham diniagakan bernilai RM4.48 bilion dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 730 berbanding 462 manakala 455 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup rendah pada RM4.0950/1000 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan semalam, RM4.0860/0900.
Pagi tadi ringgit memulakan dagangan awal pada RM4.0930/4.0980 berbanding dolar AS.
Menurut Reuters, pasaran saham Asia turun daripada paras tertinggi pada Khamis memandangkan sekatan yang dilaksanakan di AS bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 menjejaskan Wall Street.
Pasaran bon pula bersandarkan kepada spekulasi yang Rizab Persekutuan AS akan bertindak balas dengan lebih banyak kelonggaran.
"Kerugian kecil dan banyak kawasan beransur baik dalam membendung COVID-19, walaupun terdapat lonjakan kes baharu di Tokyo, ia menyebabkan Nikkei turun 0,4% dan daripada paras tertinggi 29 tahun," katanya.
Sementara itu, Rakuten Trade berkata, Wall Street menurun memandangkan AS bergelut dengan peningkatan kes COVID-19 sehingga membayangi perkembangan vaksin yang positif.
Ini menyebabkan Dow Jones Industrial Average yang berada dalam wilayah positif pada sesi awal, kerugian 345 mata dan sekali lagi gagal melepasi angka 30,000.
"Dalam masa sama, kaunter sarung getah akan terus tidak menentu sekiranya laporan mengenai vaksin menjadi realiti.
"Ini menyaksikan FBM KLCI yang bertahan pada paras 1,600 mata semalam, mungkin terus menerima tekanan dan jika jatuh, ia berada pada paras sokongan 1,590 mata," katanya.
HLIB Research berkata, ketika teknikal berubah dengan pembelian berlebihan, akan berlaku penarikan balik secara tiba-tiba apabila meningkatnya kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang rapuh disebabkan jangkitan COVID-19 semakin melonjak di seluruh dunia.
"Keadaan ini juga disebabkan sekatan dilaksanakan semula, jangkaan ekonomi suku keempat 2020 yang lemah dan hasil korporat selepas PKPB, keputusan suku ketiga yang masih berterusan dan kelulusan Belanjawan 2021 (dijangka minggu hadapan).
"Paras sokongan ditambat pada 1,579-1,555-1,535 mata manakala rintangan menghampiri 1,618 hingga 1,633 mata," katanya dalam nota kajian hari ini. - DagangNews.com