Kebimbangan mengenai bekalan tinggi akan mempengaruhi niaga hadapan MSM minggu depan | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan mengenai bekalan tinggi akan mempengaruhi niaga hadapan MSM minggu depan

oleh Zairina Zainuddin

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami pembetulan teknikal minggu depan berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran dan inventori yang akan mempengaruhi minat pelabur.

 

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata, bekalan semasa yang tinggi di negara-negara pengeluar minyak sawit dijangka terus menjejaskan harga MSM minggu depan, yang dijangka berada antara RM3,400 dan RM3,600 satu tan.

 

“Pasaran akan berada dalam sentimen turun naik berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati. Terdapat inventori yang tinggi di negara-negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia berikutan cuaca yang baik, dan ini akan mempengaruhi dagangan,” katanya kepada Bernama.

 

Mengulas mengenai lanjutan pengecualian levi eksport minyak sawit Indonesia kepada 31 Okt, Teh berkata dasar baharu itu akan terus mempengaruhi pasaran tempatan berikutan harga lebih murah yang ditawarkan Indonesia sudah tentu akan menarik lebih ramai pembeli.

 

Ini termasuk potensi permintaan dari India menjelang siri perayaan Hindu yang akan diadakan dalam tempoh dua bulan akan datang bermula dengan Ganesh Chaturthi, Navaratri, Dussehra dan perayaan terbesar di negara itu, Deepavali.

 

“Dari segi harga, kita mungkin kalah dengan Indonesia. Bagaimanapun, kecekapan pelabuhan kita yang lebih baik daripada Indonesia akan memberi kita kelebihan,” katanya, sambil menyatakan tekanan spekulasi forex oleh peniaga dan pergerakan ringgit berbanding dolar AS juga akan mempengaruhi belian pada minggu depan.

 

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia memulakan minggu ini dengan sentimen kukuh yang kebanyakannya dipengaruhi oleh pasaran kacang soya yang mencatatkan peningkatan. Trend mula menurun pada Khamis dan seterusnya berikutan kebimbangan mengenai inventori.

 

Pada Rabu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia mengumumkan bahawa pengeluaran MSM Malaysia untuk 1-20 Ogos meningkat 16.18 peratus bulan ke bulan, dengan
pengeluaran di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 11.87 peratus, Sabah (+33.36 peratus) dan Sarawak (+4.66 peratus).

 

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk bulan semerta September 2022 naik RM59 kepada RM4,149 satu tan, Oktober 2022 meningkat RM73 kepada RM4,174 satu tan, November 2022 menambah RM79 kepada RM4,172 satu tan dan Disember 2022 naik RM178 kepada RM4,281 satu tan.

 

Sementara itu, Januari 2023 meningkat RM87 kepada RM4,219 satu tan dan Februari 2023 menambah RM152 kepada RM4,333 satu tan.

 

Jumlah dagangan meningkat kepada 304,049 lot daripada 278,307 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 181,420 kontrak daripada 183,505 kontrak sebelum ini.

 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan merosot RM50 kepada RM4,250 satu tan. - DagangNews.com