Kejap Food buka cawangan makanan segera tempatan pertama di Perak | DagangNews Skip to main content

Kejap Food buka cawangan makanan segera tempatan pertama di Perak

Kejap Food berkonsepkan makanan segera tempatan yang menepati citarasa semua.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 6 Sept - Kejap Food, syarikat pemula makanan segera tempatan membuka cawangan pertamanya di Perak iaitu di stesen minyak Shell Tronoh bersebelahan Lebuhraya Lumut-Ipoh.

 

Ini juga merupakan francais ke-10 Kejap Food selepas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak.

 

Pembukaan Kejap Food di stesen minyak Shell Tronoh juga memberi kelainan baharu kepada penggemar makanan tempatan seperti nasi lemak dan roti aiskrim kerana persekitaran yang berbeza.

 

Perak

 

Terletak di lokasi strategik Lebuhraya Lumut-Ipoh, ini membolehkan pengguna lebuh raya singgah untuk makan sambil menyegarkan badan sebelum meneruskan pemanduan.

 

Duta Kejap Food Shell Tronoh, Nabilah Kashogy berkata, Kejap Food menyediakan pilihan makanan segera tempatan yang disajikan secara ala-carte dan set.

 

Katanya, setiap set disertakan sekali dengan minuman dan juga kentang goreng.

 

“Menu signatur di sini ialah kebab. Ada 6 pilihan kebab termasuk ayam dan daging seperti kebab ayam sambal pedas, kebab ayam buttermilk dan kebab daging hitam. 

 

“Turut disajikan ialah 6 pilihan nasi antaranya ayam sambal pedas, ayam sambal hijau dan ayam sambal penyet,” ujarnya.

 

Sekiranya mahukan hidangan yang ringan, terdapat juga keropok lekor, karipap, pisang goreng, popcorn sotong dan ayam. 

 

Perak

 

Tidak ketinggalan menu kegemaran pilihan pelanggan di sini iaitu roti aiskrim dan bubur.

 

Kata Nabilah Kashogy lagi, tidak lengkap sekiranya pengguna yang melalui Lebuhraya Lumut-Ipoh tidak singgah di sini dan merasai sendiri semua menu sambil berehat. 

 

Minuman White Coffee di sini juga mampu menyegarkan mata untuk kembali meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.

 

“Bagi penggemar teh tarik, Kejap Food menawarkan teh tarik float selain sirap bandung float dan green tea float.

 

"Konsep makanan segera tempatan yang disajikan Kejap Food bukan sahaja memberi kelainan, tetapi menyediakan makanan dengan citarasa menepati semua peringkat usia,” ujarnya. - DagangNews.com