KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kerajaan Malaysia harus melihat kejayaan industri pembuatan cecair vape tempatan yang kini merupakan antara terbesar di dunia, sebagai satu peluang dan memberi fokus membangunkannya untuk menyumbang kepada pendapatan negara.
Menurut Rustam Affendi Ismadi Rahimi, Pengarah COF Industry Sdn Bhd (COF), sebuah syarikat pengeluar cecair vape tempatan, Malaysia merupakan antara pengeluar cecair vape terbesar dunia dan banyak syarikat anak tempatan yang berjaya merangkul pelbagai anugerah antarabangsa. Ada juga diantara mereka telah dinobatkan sebagai Peneraju Industri.
“Industri pembuatan cecair vape ini mampu menyumbang kepada pendapatan negara. Malaysia telah terbukti sebagai pengeluar cecair vape terbesar dunia dan kerajaan harus memanfaatkannya.”
“Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan Grand View Research, Inc, pasaran cecair vape global bernilai AS$1.4 bilion (RM 5.9 bilion) pada 2020 dan dijangka bakal mencecah AS$3.3 bilion (RM14 bilion) menjelang 2027 iaitu kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 13.4% dari 2021 sehingga 2027,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, COF memberitahu adalah penting untuk kerajaan melaksanakan pemantauan menyeluruh industri ini melalui perundangan yang efektif bagi memastikan ia terus berkembang pada tahap yang memberangsangkan.
Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan cukai eksais terhadap cecair vape tanpa nikotin pada kadar 40 sen per mililiter dan mula dilaksanakan pada tahun 2021.
“Usaha tersebut membuktikan bahawa kerajaan cakna dengan industri vape yang sedang berkembang. Bagaimanapun, produk vape tanpa nikotin hanyalah kurang dari 10% dari jumlah keseluruhan produk yang berada di pasaran.”
“Kerajaan harus pertimbangkan juga untuk mengenakan cukai kepada produk bernikotin dan melaksanakan kawal selia yang menyeluruh melalui satu rang undang-undang khusus. Ini dapat membantu industri pengeluaran cecair vape berkembang pada kadar pertumbuhan yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bantahan terhadap kenyataan sebuah syarikat tembakau gergasi seperti yang dilaporkan media baru-baru ini. Syarikat tersebut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan kadar cukai eksais untuk vape kepada kadar sama dengan rokok. Langkah itu dilihat adalah tidak wajar.
“Kerajaan harus meneliti perkara ini dari sudut pembangunan industri tempatan dan bukan atas dasar kutipan cukai semata mata. Negara kita dikenali dunia sebagai negara pengeluar cecair vape, bukan peranti atau alat sampingan.”
“Kami berharap dapat turut serta dalam perbincangan dengan pihak kerajaan untuk membentangkan pendapat dari sudut industri. Kita tidak mahu ada pihak yang cuba untuk menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan dalam kesulitan ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, COF memberitahu, pembangunan industri pembuatan cecair vape ini secara tidak langsung dapat membantu negara mengatasi masalah pengangguran yang semakin meruncing ekoran pandemik COVID-19.
“Industri berkaitan rokok elektronik atau vape tempatan melibatkan lebih kurang 3,300 perniagaan yang mempunyai anggaran 15,000 pekerja. Jika industri ini diberi perhatian khusus, lebih banyak peluang perniagaan terbuka yang membawa kepada lebih banyak penawaran peluang pekerjaan,” katanya lagi. – DagangNews.com