KUALA LUMPUR 26 Okt - Kenanga Research menjangkakan kejayaan Gamuda Berhad meraih kontrak pembinaan MRT Kaohsiung bernilai RM3.45 bilion di Taiwan akan menaikkan jumlah buku pesanan tertunggak kumpulan itu kepada RM23.6 bilion sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatannya.
Katanya, kumpulan itu juga memberi bayangan bahawa unit kejuruteraannya bakal meraih kontrak baharu bernilai RM25 bilion antara FY25 dan FY24 termasuk enam projek mega dalam tempoh 15 bulan akan datang.
Mereka menjangkakan pemulihan ketara dalam sektor pembinaan pada tahun hadapan disokong pelancaran projek MRT3 bernilai RM45 bilion, LRT Bayan Lepas bernilai RM9.5 bilion.
Ia termasuk enam projek tebatan banjir yang dilaporkan bernilai RM13 bilion dan pasaran pembinaan sektor swasta yang rancak, disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam faundri semikonduktor baharu dan pusat data.
"Selain projek MRT Taiwan, kumpulan itu berpotensi meraih projek LRT Bayan Lepas, MRT3, Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan satu kontrak di Australia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Gamuda bersama rakan usaha samanya di Taiwan, berjaya meraih kontrak reka bentuk dan binaan bagi pembinaan laluan metropolitan MRT Kaohsiung daripada kerajaan Bandaraya Kaohsiung pada harga RM3.45 bilion.
Projek terbaharu itu merupakan projek kereta api ketiganya di Taiwan dan projek kedua di Kaohsiung. Gamuda membina Laluan Jingga MRT Kaohsiung pada 2008.
Pada 2022, Gamuda juga memperoleh projek kereta api bawah tanah TaoYuan City bernilai RM2.13 bilion (Pakej CJ18 Stesen Komuter PingZhen) di Taiwan.
Gamuda sedang menyempurnakan enam projek infrastruktur di Taiwan, termasuk jambatan marin Guantang, tembok laut pelabuhan Taiwan dan talian penghantaran bawah tanah 161kV Songshu ke Guanfeng.
Secara keseluruhan, MRT baharu di Kaoshiung (Laluan Kuning) adalah kira-kira sejauh 22.8km, terdiri daripada bahagian bawah tanah sepanjang 21.9km dan 900 meter yang ditinggikan, dengan sejumlah 23 stesen — meliputi enam daerah, NiaoSong, SanMin, LingYa, XinXing, FengShan dan QianZhen.
Firma penyelidikan itu menyukai Gamuda kerana menjadi syarikat utama bagi kerja terowong MRT3 selain keupayaannya mendapatkan pekerjaan baharu di pasaran luar negara selain keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak rekod sebanyak RM23.6 bilion serta penyertaanya ke dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM5.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com