Kejuruteraan Asastera jalin MoU bangunkan projek telco di Filipina | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera jalin MoU bangunkan projek telco di Filipina

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 3 pihak dengan firma dari Filipina, LCS Holdings Inc dan ATS Venture Group Sdn. Bhd. untuk membangunkan projek menara telekomunikasi di negara tersebut.

 

MoU itu sekali gus memperkukuhkan hasrat LCS untuk bekerjasama dengan KAB secara penyelesaian siap guna bagi membina dan mengendalikan projek menara telekomunikasi, kontrak yang telah pun diperolehi oleh LCS.

 

KAB akan memainkan peranan utama dalam pengaturan kewangan sementara ATS akan menjadi rakan teknologi utama bagi menyokong projek ini.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, MoU itu merupakan pencapaian terpenting yang baharu bagi penerokaan syarikat dalam industri telekomunikasi.

 

Katanya, penglibatan dalam segmen perniagaan baharu ini (pembinaan dan pengoperasian menara telekomunikasi akan meningkatkan pendapatan berulang KAB secara berterusan, selain perniagaan yang ada.

 

"Saya berharap untuk secara bersama membangunkan kerjasama strategik jangka panjang ini dengan LCS bagi menyokong industri telekomunikasi Filipina, yang telah berkembang pesat selama bertahun-tahun.

 

"Ini juga seiring dengan kepesatan permintaan rakyat Filipina untuk berkomunikasi melalui telefon bimbit, mengakses maklumat melalui internet, penstriman serta memuat turun video," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah projek itu, KAB merancang untuk melabur dan membina 300 menara telekomunikasi, masing-masing setinggi 45 meter.

 

Selepas projek itu siap, menara telekomunikasi ini akan disewakan kepada Dito Telecommunity Corporation di Filipina, yang dimiliki secara bersama oleh China Telecommunications Corporation, syarikat induk China Telecom, untuk jangka waktu 15 tahun dengan opsyen lanjutan selama 10 tahun lagi.

 

Konsesi jangka panjang yang ditandatangani dengan Dito ini akan meningkatkan pendapatan berulangnya untuk 25 tahun akan datang.

 

Aliran pendapatan baharu ini, yang akan memberikan sumbangan positif kepada KAB, dijangka memberikan pendapatan sebanyak RM15 juta dengan keuntungan sekitar RM3 juta setahun. - DagangNews.com