Kekangan bekalan, sokong kenaikan harga sawit | DagangNews Skip to main content

Kekangan bekalan, sokong kenaikan harga sawit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kekangan bekalan dijangka terus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut Moody’s Investors Service.


Firma itu dalam laporannya berkata, ia secara tidak langsung meningkatkan julat harga sederhana kepada RM2,200 hingga RM2,600 satu tan metrik dengan titik tengah RM2,400 satu tan metrik. 


Peningkatan itu mewakili 14% lebih tinggi berbanding RM2,100 satu tan metrik bagi harga titik tengah daripada sebelumnya, antara RM1,900 hingga RM2,300 satu tan metrik. 


Dalam tempoh 10 bulan sehingga Oktober 2020, harga purata MSM berlegar sekitar RM2,600 satu tan metrik, iaitu 30% lebih tinggi berbanding RM2,000 satu tan metrik bagi tempoh sama 2019. 


"Harga minyak sawit mungkin kekal berada di atas semakan unjuran julat harga dalam beberapa bulan akan datang disebabkan kekangan bekalan yang berterusan.


"Tetapi purata harga pada RM2,400 hingga RM2,500 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun lalu menunjukkan kenaikan semasa sekitar RM3,500 satu tan metrik  mungkin tidak dapat dikekalkan," katanya.  


Pada 17 November lalu, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan harga harian MSM meningkat sehingga RM3,500 satu tan metrik bagi hari kedua berturut-turut, paras tertinggi sejak April 2012. 


Lonjakan harga itu didorong oleh kekangan bekalan dan kekurangan tenaga buruh disebabkan perintah sekatang yang dilaksanakan kerajaan.  


Bagaimanapun, menurut Moody's Investor, hasil pengeluaran mencatat penurunan ekoran cuaca kering awal tahun ini dan kurang penggunaan baja oleh pengeluar pada ketika harga MSM rendah telah melemahkan bekalan. 


Sebelum ini, Pusat Meteorologi Khas ASEAN mengunjurkan fenomena La Nina akan menyebabkan hujan lebat luar biasa di rantau Asia Tenggara, berterusan sehingga Mac 2021. 


"Ini akan mengganggu pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia, yang merangkumi 85% daripada pengeluaran global," katanya. 


Eksport minyak sawit dari Malaysia, yang merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia menyusut 8% tahun ke tahun bagi tempoh 10 bulan setakat Oktober 2020. 


Di samping itu, eksport minyak sawit Indonesia, pengeluar terbesar dunia juga merosot 11% tahun ke tahun bagi tempoh 8 bulan setakat Ogos tahun ini. - DagangNews.com