Kekangan eksport minyak sawit, biodiesel Indonesia beri kesan terhadap bekalan global | DagangNews Skip to main content

Kekangan eksport minyak sawit, biodiesel Indonesia beri kesan terhadap bekalan global

JAKARTA 13 Jan - Langkah Indonesia menyekat eksport dan peningkatan penggunaan biodiesel domestik dijangka memberi tekanan kepada bekalan minyak sayur global yang bekalannya sememangnya terkesan di rantau Asia Tenggara dan Amerika Latin.

 

Pembeli minyak makan termasuk Asia Selatan dan Afrika akan berdepan kekangan dari segi penawaran dengan permintaan diunjur meningkat dengan China akan melonggarkan sekatan kawalan COVID-19 dan India meningkatkan pembeliannya.

 

Sekatan eksport Indonesia dan penggunaan tanaman yang lebih tinggi untuk membuat biofuel merupakan satu lagi cabaran kepada negara pengimport makanan yang terjejas akibat inflasi yang mendorong harga bahan makanan utama seperti gandum, jagung dan kacang soya ke paras tertinggi 

 

"Pelaksanaan mandat B35 di Indonesia pada 2023 pasti mengubah keadaan bekalan dan permintaan minyak sawit global pada 2023.

 

"Saya kini menjangkakan permintaan dan bekalan minyak sawit global akan mengalami sedikit defisit," kata penganalisis kanan dalam penyelidikan makanan dan perniagaan tani di Rabobank, Oscar Tjakra.

 

Mandat B35 Indonesia menetapkan diesel yang dijual di negara itu mulai 1 Februari 2023 harus mengandungi 35% asid lemak berasaskan sawit metil ester. 

 

Sebagai perbandingan, Malaysia telah melaksanakan sebahagiannya mandat pengadunan biodiesel sebanyak 20% dan negara-negara lain mempunyai langkah yang memerlukan peratusan kandungan bio satu dan dua digit untuk diesel atau petrol.

 

Persatuan Pengeluar Biofuel Indonesia berkata, mandat B35 akan mengambil 11.44 juta tan minyak sawit tahun ini, meningkat daripada 9.6 juta pada 2022 di bawah langkah B30 negara.

 

Indonesia yang merupakan pengeluar lebih separuh daripada bekalan minyak sawit global, turut mengetatkan peraturan perdagangan tahun ini, membenarkan pengeksport menghantar hanya enam kali ganda jumlah jualan minyak sawit domestik mereka, kurang daripada nisbah suku keempat 2022 sebanyak lapan kali ganda.

 

"Eksport minyak sawit Indonesia pasti akan menurun, kerana pengeluaran akan menurun, penggunaan domestik akan meningkat," kata pegawai Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Fadhil Hasan kepada Reuters.

 

GAKPI menganggarkan Indonesia mengeluarkan 51.3 juta tan minyak sawit pada 2022 dan mengeksport 33.7 juta tan manakala 2023, pengeluaran minyak sawit dijangka 50.82 juta tan dan eksport 26.42 juta tan.

 

Niaga hadapan minyak sawit penanda aras dijangka dalam julat RM4,000-RM4,200 setan tahun ini, menurut ketua pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

Import minyak sawit India pada Disember melonjak 94% daripada tahun sebelumnya kepada rekod tertinggi.

 

"Diskaun minyak sawit kepada minyak saingan adalah sekitar AS$300 (RM1,300) satu tan, kami menjangkakan diskaun ini mengecil kepada sekitar AS$200 menjelang Mac.

 

"Permintaan kukuh India untuk minyak sawit akan berterusan kerana ia masih merupakan minyak makan yang paling murah," kata Ketua Eksekutif Sunvin Group, Sandeep Bajoria.

 

Pembelian minyak sawit oleh China, pengimport kedua terbesar di dunia, juga dijangka meningkat tahun ini, selepas jatuh mendadak pada 2022 kerana kawalan ketat Covid Beijing ketika itu. - DagangNews.com