Kekurangan projek dalam sektor minyak dan gas, TA Research jangka keputusan 4QFY24 Pantech Group mendatar | DagangNews Skip to main content

Kekurangan projek dalam sektor minyak dan gas, TA Research jangka keputusan 4QFY24 Pantech Group mendatar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - TA Research menjangkakan keputusan 4QFY24 Pantech Group Holdings Berhad mendatar atau hanya mencatatkan sedikit peningkatan dari suku tahun ke suku tahun akibat kekurangan projek dalam sektor minyak dan gas (O&G) dalam negara.

 

Katanya, kumpulan itu bagaimanapun dijangka mencatat prestasi lebih baik pada FY25 kerana tender untuk projek utama seperti Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dijangka bermula pada pertengahan 2024.

 

"Sebagai antara penyedia sehenti terbesar untuk paip, injap dan kelengkapan (PVF) di Malaysia, kami yakin dengan prospek jangka panjang kumpulan itu kerana Malaysia berhasrat untuk meningkatkan rantaian nilai daripada bahan kimia asas kepada khusus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

 

"Kumpulan itu dilihat berpotensi menawarkan hasil dividen menarik sebanyak 6.7% bagi FY24 hinggan FY26 disokong hasil aliran tunai melebihi 15%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Pantech Group bagi 3QFY24 susut kepada RM21.2 juta berbanding RM34.7 juta pada tahun sebelumnya

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga susut kepada RM221.4 juta berbanding RM299.9 juta pada 3QFY23.

 

Penyusutan hasil dan untung bersih kumpulan itu adalah disebabkan jualan berkurangan dan perubahan campuran produk untuk bahagian perdagangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatatkan prestasi yang lebih buruk pada 3QFY24 bagi suku tahun ke suku tahun dan tahun ke tahun.

 

Katanya, untung bersih teras 9MFY24 sebanyak RM69.8 juta adalah di bawah jangkaan konsensus pada 73% dan 68% daripada ramalan tahun penuh. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham," katanya. - DagangNews.com