Kelembapan ekonomi global, Kenanga Research kekal neutral terhadap sektor pembungkusan plastik | DagangNews Skip to main content

Kelembapan ekonomi global, Kenanga Research kekal neutral terhadap sektor pembungkusan plastik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Kenanga Research kekal neutral terhadap sektor pembungkusan plastik kerana ia tidak akan terlepas daripada kesan kelembapan ekonomi global dalam tempoh terdekat.

 

Firma itu berkata, pengilang Eropah secara berperingkat membuat kemunculan semula dengan cara yang lebih ketara berikutan penurunan mendadak harga gas.

 

"Pengeluar dari Malaysia terpaksa berdepan dengan peningkatan kos tenaga berikutan kenaikan tarif elektrik pada Januari 2023.

 

"Kami percaya ini boleh diurus kerana biasanya elektrik hanya membentuk 4% hingga 6% daripada jumlah kos pengeluaran pemain pembungkusan plastik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma itu berkata, jumlah jualan yang lebih lemah akibat kelembapan global serta pulangan kepada pengeluar dari Eropah boleh dikurangkan sebahagiannya dengan pengeluaran produk dengan margin keuntungan tinggi seperti filem regangan premium dan pembungkusan filem premium.

 

Katanya, kos resin serta keadaan tenaga kerja yang lebih baik seharusnya meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengeluaran.

 

Sementara itu, bagi jangka panjang, penyelidik pasaran Mordor Intelligence mengunjurkan pasaran pembungkusan plastik global berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.5% pada 2022-2027.

 

"Kami percaya pengeluar tempatan boleh berkembang pada kadar yang lebih pantas dalam tempoh tersebut kerana mereka memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara yang kehilangan daya saing disebabkan peningkatan kos pengeluaran.

 

"Pengeluar pembungkusan plastik di bawah liputan kami telah menyediakan rancangan pengembangan yang agak agresif untuk mengambil kesempatan daripada keadaan itu," katanya.

 

Pilihan utama firma itu adalah Thong Guan Industries Berhad kerana kestabilan pendapatannya disokong oleh portfolio produk yang lebih pelbagai selain prospek pertumbuhan pendapatannya disokong oleh pengembangan kapasiti pengeluaran untuk produk premium seperti filem regangan nano dan beg kurier

 

Pada masa sama, penembusan yang lebih mendalam ke dalam pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (AS) serta inovasi produknya melalui R&D dan kerjasama dengan syarikat-syarikat seperti ExxonMobil untuk mencipta produk yang lebih mesra alam. - DagangNews.com