Kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur 5G dijangka beri kesan kepada pendapatan OCK Group - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur 5G dijangka beri kesan kepada pendapatan OCK Group - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur 5G dijangka beri kesan negatif kepada pendapatan OCK Group Berhad, kata Kenanga Research. 

 

Sehingga kini, kumpulan itu memiliki 5,300 menara telekomunikasi di Malaysia, Myanmar serta Vietnam dan sedang merancang untuk menambah antara 150 hingga 200 menara di negara ini dan lagi 500 menara di Vietnam.

 

Katanya, kumpulan itu sedang dalam fasa akhir bagi mendapatkan kelulusan bagi pemasangan 120 menara telekomunikasi di Vietnam dan pada masa sama sedang memohon lesen menara di Laos.

 

"Sebarang perubahan peraturan juga akan menjejaskan perniagaan kumpulan itu.

 

"Kumpulan itu juga tidak berhasrat meningkatkan pelaburannya di Myanmar sehingga keadaan politik stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, OCK Group dijangka terus mendapat manfaat daripada penggunaan berterusan rangkaian 5G pertama di Malaysia.

 

Katanya, ia adalah melalui penglibatan dalam pelancaran anggaran tambahan 2,500 tapak 5G pada 2024.

 

"Bagi rangkaian 5G kedua Malaysia yang akan datang, kami percaya bahawa OCK juga mungkin mendapat manfaat daripada lokasi bersama di tapak menara sedia ada dan pembinaan menara baharu mengikut kesesuaian.

 

"Ini disokong oleh rekod prestasi dan penglibatan kumpulan dalam kejayaan pelancaran tapak 5G baharu untuk rangkaian pertama.

 

"Kami juga percaya bahawa tapak menara baharu diperlukan untuk mengembangkan jejak liputan 5G Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, kumpulan itu sedang membida banyak projek baharu bagi meningkatkan buku pesanannya yang berjumlah kira-kira RM278 juta pada akhir September 2023.

 

Katanya, antara projek yang sedang dibida termasuk loji tenaga solar berskala besar di Malaysia Timur dan kontrak penyediaan rumusan 5G di Malaysia (pemasangan sistem yang menggunakan kecerdasan buatan seperti rangkaian CCTV pintar).

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 74 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com